Monsta telah melancarkan video acah rasmi untuk BoBoiBoy Movie 3, dengan menetapkan sasaran tayangan pada pertengahan tahun 2027. Video berdurasi satu minit 30 saat tersebut mendedahkan cabaran baharu serta hala tuju penceritaan yang lebih serius.
Konflik filem ini berpusat kepada perebutan Kuasa Voltra. Watak antagonis baharu, Tuanku Kirana, muncul untuk menuntut kuasa berkenaan dan mendakwanya sebagai hak warisan keluarga. Kirana secara langsung menyatakan tekad untuk menuntut bela ke atas kematian ayahandanya tanpa menghiraukan sebarang akibat.
Manakala BoBoiBoy pula tidak yakin dengan keupayaannya sendiri untuk terus memikul bebanan tanggungjawab. Kuasa yang sebelum ini digunakan untuk melindungi kini dianggap bukan lagi satu anugerah olehnya.
Rakan-rakan seperjuangannya iaitu Yaya, Ying, Gopal, dan Fang turut dipaparkan sedang bersiap sedia untuk mendepani ancaman dari pihak Kirana. Monsta sekali lagi bersama dengan Astro Shaw di dalam penerbitan filem mereka.


