Uniqlo Malaysia bakal melancarkan koleksi pakaian UT Pokémon kedua pada Isnin, 27 Julai 2026. Pelancaran ini dibawakan khas bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 francais Pokémon, menampilkan barisan rekaan yang diinspirasikan daripada era awal permainan video tersebut.
Koleksi kali ini memfokuskan kepada elemen-elemen klasik daripada permainan video Pokémon Red dan Pokémon Blue. Rekaannya mengetengahkan seni piksel monokrom yang memaparkan paparan skrin pembukaan asal, Pokémon popular seperti Pikachu, serta Pokémon legenda Mew dan Mewtwo. Selain itu, watak Pokémon daripada lapan Gym Leader yang ditemui pemain di dalam permainan turut dipaparkan pada rekaan baju. Koleksi ini menawarkan empat pilihan rekaan untuk dewasa dan empat rekaan untuk kanak-kanak.


Bagi pasaran Malaysia, kemeja-t untuk kategori lelaki dijual pada harga RM59.90 sehelai dengan variasi saiz bermula dari XS sehingga 3XL. Untuk kategori kanak-kanak, pakaian ditawarkan pada harga RM39.90 sehelai bagi saiz 110 hingga 160cm. Bagaimanapun, pilihan saiz spesifik iaitu 110, XS, XXL, dan 3XL hanya disediakan secara eksklusif untuk pembelian melalui stor dalam talian.
Koleksi UT Pokémon ini boleh didapati di kesemua cawangan fizikal Uniqlo di seluruh Malaysia serta stor dalam talian uniqlo.com. Sebuah laman web rasmi khas (https://www.uniqlo.com/my/en/special-feature/pokemon) juga telah disediakan, membolehkan pengguna melihat rekaan baju sambil mendengar runut bunyi asal daripada permainan video Pokémon Red dan Pokémon Blue mengikut tema rekaan masing-masing.


