Garena telah melancarkan kemas kini kandungan terbaharu untuk permainan video Delta Force melalui pengenalan Season Meltdown yang bermula pada 30 Jun 2026. Mereka turut mengesahkan penganjuran acara kolaborasi bersama Tom Clancy’s Rainbow Six Siege yang dijadualkan bermula pada 10 Julai depan.

Melalui acara kolaborasi taktikal ini, pemain berpeluang menuntut pelbagai kandungan kosmetik eksklusif secara percuma. Antaranya termasuk tawaran memilih dua daripada tiga pek penampilan Operator iaitu Nox x Vigil, Sineva x Montagne, dan Stinger x Doc. Pemain juga boleh menuntut penukaran kosmetik senjata MP5 – Black Ice, memilih satu daripada dua pek penampilan senjata Black Ice, serta mengumpul barangan kolaborasi seperti ‘Collab Collection: Drone’ dengan mencari bekas khas yang ditandakan di dalam peta permainan.

Bagi kandungan utama Season Meltdown, mod Operations menerima peta berskala besar baharu iaitu AZ3 Nuclear Plant yang tersedia dalam pilihan tahap kesukaran Normal dan Easy. Peta yang berlatarkan fasiliti nuklear HAVVK ini membawakan sistem mekanik dinamik di mana tahap radiasi akan meningkat dan struktur persekitaran merosot sepanjang perlawanan berlangsung.

Buat pertama kali dalam Delta Force, tindakan bersama daripada semua pemain di dalam peta akan menentukan bagaimana krisis tersebut berakhir, sama ada melalui penutupan terkawal atau pemindahan penuh. Kawasan ini turut menempatkan musuh utama (boss) baharu bernama H1000 yang akan memburu pemain, selain kad akses AZ3 yang boleh digunakan untuk memasuki bilik ganjaran khas.

Kemas kini ini turut memperkenalkan N-Two, seorang Operator baharu yang mempunyai latar belakang sebagai bekas jurutera penyejukan. N-Two dilengkapi dengan keupayaan teknologi kriogenik (cryo-tech) yang membolehkannya memperlahankan pergerakan musuh dan membekukan kawasan strategik untuk mengawal tempo pertempuran di dalam mod Operations dan Warfare. Pilihan persenjataan pemain juga diperluaskan dengan pengenalan rifle jenis bullpup RM277 bersaiz 6.8mm untuk pertempuran jarak sederhana serta senapang penembak tepat SVCH untuk pertempuran jarak jauh.

Bagi mod pertempuran berskala besar Warfare, peta baharu dinamakan Coliseum diperkenalkan yang memfokuskan kepada kawasan arena bersejarah dan bandar sekitarnya. Peta ini menampilkan mekanik kebakaran dinamik yang boleh meruntuhkan struktur bangunan secara masa nyata bagi mengubah landskap perlawanan. Tiga mod Warfare baharu juga akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang musim ini.

Delta Force sudah dilancarkan untuk PC, iOS dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.

Leave a Reply