Pembangun Supernova Games Studios dan penerbit 505 Games telah melancarkan kemas kini versi 0.5 untuk Assetto Corsa Rally di PC melalui Steam. Kemas kini ini membawakan integrasi pertama untuk mod multi-pemain dalam talian, dua litar rali baharu dari dunia sebenar, serta rombakan pada sistem fizik permainan.


Melalui kemas kini ini, pemain boleh mengakses dua litar Special Stage dari Greece yang pernah digunakan dalam World Rally Championship, iaitu Loutraki dan Elatia. Litar Loutraki melibatkan laluan berliku dan berhabuk di pinggir bandar menuju ke bukit Aghii Theodori yang dipenuhi batu di pinggir jalan. Manakala litar Elatia pula menawarkan laluan yang lebih luas antara dua kawasan petempatan dengan selekoh panjang yang mencabar ketepatan pemanduan pada kelajuan tinggi.
Satu lagi penambahan utama ialah pengenalan mod dalam talian fasa pertama yang membolehkan sehingga 16 pemain menyertai lobi awam atau tersuai untuk acara single-stage. Mod ini memberikan hos kawalan penuh terhadap tetapan cuaca, sekatan kenderaan, serta fungsi live spectating secara masa nyata. Pembangun turut menyediakan Lobi ACR rasmi yang diuruskan secara automatik, lengkap dengan kalendar acara yang menawarkan dua acara mingguan standard dan satu acara premium pada hujung minggu (Jumaat hingga Ahad).


Dari segi teknikal, hasil kerjasama perkongsian teknikal bersama KUNOS Simulazioni, sistem fizik permainan telah dipertingkatkan menerusi model tayar baharu untuk interaksi yang lebih realistik antara getah dan permukaan jalan. Pengesanan permukaan bumi kini diasingkan mengikut parameter bentuk muka bumi tertentu, termasuk pengenalan kesan ‘bulldozing’ longitudinal dan lateral pada permukaan lembut serta sistem getaran maklum balas. Garisan ideal dinamik yang melebar di selekoh juga mula diperkenalkan khusus untuk litar Greece, bersama dengan imbangan semula bagi semua permukaan, kenderaan, dan tetapan.
Assetto Corsa Rally yang kini berada dalam fasa Early Access di PC ditawarkan dengan potongan harga sebanyak 20% sehingga 9 Julai ini bersempena dengan jualan Steam Summer Sale. Pembangun mengesahkan perancangan untuk terus melancarkan beberapa lagi kemas kini kandungan pada masa hadapan sebelum menuju ke pelancaran versi 1.0 sepenuhnya.


