Astro dan Disney+ hari ini telah mengumumkan yang perkembangan kerjasama di antara mereka. Langkah strategik ini membolehkan kandungan antarabangsa daripada Disney+ ditawarkan di platform Astro, manakala koleksi karya tempatan Astro pula akan disiarkan di platform penstriman Disney+.
Melalui pelan ini, pelanggan Astro, Astro GO, dan NJOI kini boleh menonton pelbagai siri serta filem global. Antara judul yang tersedia termasuk Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service, The Incredible Hulk, Maleficent, Brave, Monsters University, Buffy the Vampire Slayer, Scrubs, dan New Girl.

Sebaliknya, portfolio kandungan tempatan Astro merangkumi pelbagai genre seperti drama, seram, aksi, realiti, dan rancangan kanak-kanak turut dibawa ke platform Disney+. Judul-judul popular Malaysia yang terlibat adalah Zombi Kampung Pisang, Polis Evo 1 & 2, Ola Bola, Khun:Sa Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak, dan Didi & Friends.
Dari segi harga dan langganan, Disney+ boleh dilanggan secara tambahan melalui aplikasi atau laman web My Astro pada harga bermula RM18.30 sebulan. Walau bagaimanapun, bagi pelanggan Astro yang melanggan Movies Pack dan Pek Epic Astro One, akses Disney+ sudah tersedia dalam langganan sedia ada tanpa sebarang kos tambahan.


