SEGA telah mendedahkan watak boleh dimainkan baharu bernama “Bakunawa Killer” untuk permainan akan datang mereka, Virtua Fighter Crossroads, semasa acara Evo 2026. Watak ini diambil daripada plot penceritaan watak bernama Cielo.
Menerusi treler yang dikongsikan, jalan cerita permainan ini berpusat di sebuah metropolis fiksyen di Asia Tenggara bernama Vilasapara, yang digemparkan dengan siri serangan misteri terhadap para pejuang. Watak Bakunawa Killer merupakan individu utama di sebalik serangan tersebut, manakala plot menyaksikan cubaan Pai dan Cielo untuk menjejaki pergerakannya.
Virtua Fighter Crossroads merupakan sebuah permainan bergenre Fighting Adventure yang menggabungkan elemen aksi pertarungan siri klasiknya dengan gaya penceritaan sinematik daripada RGG Studio. Garis masa penceritaan akan mengikuti kisah empat watak utama yang saling berkait di dalam daerah Vilasapara, merangkumi kawasan pusat bandar bertembok sehinggalah ke daerah hiburan dan resort.
Dari segi tatamain, pemain boleh menerokai pelbagai lokasi untuk menyelesaikan tugasan sampingan serta quests daripada penduduk bandar. Selain daripada mod perlawanan dalam talian, Virtua Fighter Crossroads turut membawakan mekanik pertempuran dalam Story Mode seperti pertarungan melawan musuh yang ramai dan perlawanan menentang bos.


