Cygames telah mengumumkan yang Granblue Fantasy Versus: Rising, dijadualkan untuk pelancaran di platform Nintendo Switch 2 pada 17 September 2026. Pelancaran ini akan berjalan serentak dengan hadirnya kemas kini Versi 2.60 bagi PlayStation 4, PlayStation 5, Nintendo Switch 2, dan PC.
Bagi versi Nintendo Switch 2, permainan ini akan menyertakan kesemua roster yang mengandungi 40 watak, termasuk watak yang sebelum ini dilancarkan sebagai kandungan boleh muat turun (DLC). Versi konsol ini juga akan menyokong fungsi multiplayer secara setempat, di samping mengekalkan mod utama seperti Story Mode dan Figure Studio.

Seterusnya, kemas kini Versi 2.60 yang hadir pada tarikh yang sama bakal memperkenalkan Id sebagai watak DLC baharu yang boleh dimainkan. Watak pendekar pedang dari wilayah Zegagrande ini diambil daripada siri permainan action RPG Granblue Fantasy: Relink. Selain watak tersebut, kemas kini terbaharu ini turut membawakan stage baharu iaitu Ainsteddo Archipelago, mekanik sistem baharu, serta keseimbangan semula untuk beberapa watak sedia ada.

Pemain yang memiliki fail simpanan daripada permainan Granblue Fantasy: Relink – Endless Ragnarok boleh menghubungkan data mereka ke dalam Granblue Fantasy Versus: Rising bermula 17 September 2026. Pautan data ini membolehkan pemain menuntut ganjaran bonus berupa skin kosmetik senjata untuk watak Id dan avatar lobi Lyria (Shaman of Salvation).
Granblue Fantasy Versus: Rising diterbitkan oleh Cygames, Inc. dan dibangunkan oleh Arc System Works Co., Ltd. yang telah dilancarkan sejak 14 Disember 2023.


