Musim terakhir untuk siri The Bear menemui penonton hari ini, dan saya sudah berpeluang untuk menonton tujuh episod daripada lapan, dengan episod terakhir dijangka akan ditayangkan pada bulan Ogos kelak. Daripada tujuh episod ini, saya boleh katakan ia merupakan musim terbaik jika dilihat secara keseluruhan. Musim pertama mungkin mempunyai beberapa episod yang lebih baik, akan tetapi secara keseluruhan musim kelima ini benar-benar membawa perkara yang terbaik mengenai siri ini, dan dipadatkan dalam satu musim yang mempunyai jumlah episod yang paling sedikit.

Kekuatan utama bagi musim terakhir ini adalah daripada episod pertama sehingga episod ketujuh, ia berlaku dalam masa sehari sahaja, yang mungkin menjadi hari terakhir bagi The Bear, kerana selepas kiraan detik di musim keempat, mereka sekarang sudah kehabisan modal untuk meneruskan restoran tersebut. Oleh itu, musim ini menjadi cubaan terakhir mereka untuk memastikan yang dengan segala masalah yang hadir, restoran tersebut masih boleh berjaya.

Walau bagaimanapun, seperti biasa untuk siri ini, ia bermula dengan langkah kiri. Hari tersebut memperlihatkan kawasan restoran mereka dihujani dengan ribut, yang mengakibatkan sistem tempahan mereka rosak, sistem paip mereka bocor, dan penghantaran bahan-bahan masakan tidak boleh dilakukan. Bagi perihal peribadi pula, Sydney (Ayo Edebiri) masih lagi berdepan dengan keputusan Carmen (Jeremy Allen White) pada bahagian akhir musim lepas yang ingin berhenti daripada menjadi tukang masak dan ingin menyerahkan The Bear sepenuhnya kepadanya.

Namun, kisah peribadi ini hanya disentuh sedikit sahaja dan tidak berpanjangan, antara masalah yang saya boleh katakan untuk musim lepas, sebaliknya kebanyakan tenaga penceritaan diberikan kepada percubaan mereka untuk melawan dengan pelbagai masalah ini dan memastikan hari tersebut berjaya dilakukan dengan terbaik yang mungkin walaupun mungkin menjadi hari yang terakhir untuk mereka. Kisah mengenai mereka tiada lagi wang, juga masih disentuh tetapi ia dilakukan sebagai sampingan yang tidak mengganggu bahagian penting untuk penceritaan musim ini.

Premis penceritaan yang lebih fokus dan ringkas ini sangat membantu di dalam penyampaian yang membuatkan saya tidak dapat mencari mana-mana episod daripada tujuh episod ini yang saya boleh katakan kurang menarik. Sesuatu yang saya tidak mempunyai masalah untuk lakukan jika bercakap mengenai musim-musim lain. Pertelingkahan, pergaduhan, permasalahan tambahan, masih lagi berlaku dan mempertingkatkan debaran bagi setiap episod, tetapi ia disampaikan dengan sangat berkesan dan meleret membuatkan ia menjadi nilai tambah berbanding bebanan semata-mata.

Akhir kata, musim terakhir untuk siri ini mengambil segala perkara yang menarik daripada musim-musim lepas dan dipadatkan untuk memberikan pengalaman tontonan semusim yang terbaik berbanding musim-musim lepas. Pilihan untuk menjadikan musim ini memfokuskan kepada kejadian di dalam masa sehari sahaja, membantu untuk menjadikan penceritaan yang lebih fokus, padat dan berkesan, ia dipenuhi dengan bahagian-bahagian yang memberi impak kepada jalan cerita, watak-watak dan juga emosi saya sebagai penonton. Setiap episod mungkin tidak dapat menandingi sesetengah episod daripada musim lain, tetapi secara keseluruhan, ia musim yang terbaik dan siri The Bear menutup kisah mereka dengan sangat “chef’s kiss“.

The Bear musim kelima akan mula disiarkan di Disney+ pada 26 Jun 2026.

The Bear (Musim 5)
musim terakhir untuk siri ini mengambil segala perkara yang menarik daripada musim-musim lepas dan dipadatkan untuk memberikan pengalaman tontonan semusim yang terbaik berbanding musim-musim lepas. Pilihan untuk menjadikan musim ini memfokuskan kepada kejadian di dalam masa sehari sahaja, membantu untuk menjadikan penceritaan yang lebih fokus, padat dan berkesan, ia dipenuhi dengan bahagian-bahagian yang memberi impak kepada jalan cerita, watak-watak dan juga emosi saya sebagai penonton
Positif
Penceritaan fokus dan padat
Lakonan kekal berkualiti tinggi
Pengalaman semusim yang terbaik
Negatif
Tiada satu episod yang benar-benar "suprising"
10

Leave a Reply

Final Score