SEGA telah melancarkan kemas kini Ver. 1.4.1 untuk permainan Sonic Racing: CrossWorlds sempena sambutan ulang tahun ke-35 siri Sonic. Kemas kini ini membawakan kandungan crossover percuma, acara masa terhad, serta pengumuman rasmi mengenai kejohanan dunia pertama bagi permainan berkenaan.

Bermula hari ini, watak Classic Sonic bersama jentera khasnya, Mach Cyclone, telah ditambah ke dalam permainan secara percuma. SEGA turut mengesahkan penyertaan dua lagi watak ikonik melalui kemas kini percuma akan datang. Watak Axel daripada siri Crazy Taxi bersama jentera Devolada Yellow Jack bakal diperkenalkan pada Ogos 2026, manakala Amigo daripada siri Samba de Amigo bersama jentera Locomotive de Amigo akan menyusul pada September 2026.

Mereka juga bakal menganjurkan Sonic Racing: CrossWorlds World Championship 2026, yang merupakan kejohanan global pertama untuk permainan ini. Seramai 24 pelumba yang berjaya melepasi pusingan kelayakan akan diterbangkan ke New York untuk bertanding di peringkat akhir pada 10 Oktober 2026. Maklumat lanjut mengenai pusingan kelayakan disediakan di laman web rasmi kejohanan.

Satu acara khas bertema akan berlangsung bermula 26 Jun 2026 sehingga 29 Jun 2026. Pemain boleh menyertai salah satu daripada tiga pasukan untuk bersaing mengumpul mata tertinggi melalui cabaran khusus seperti melakukan Touch Boost. Mata yang dikumpul boleh digunakan untuk menebus barangan eksklusif termasuk gajet “Spin Dash Ki”, hon, decal, dan gelaran “Sonic the Hedgehog Forever”.

Kemas kini terbaharu ini turut membawakan beberapa perubahan mekanik dan penambahan kandungan audio, antaranya:

  • 8 Gajet Baharu: Pengenalan Evolution Gadgets yang memberikan peningkatan prestasi selepas memenuhi syarat pemanduan tertentu, serta gajet Perfect Landing untuk peningkatan kelajuan selepas melakukan Air Trick. Gajet ini boleh diakses selepas pemain mencapai piring gajet tahap Gold Plate ke atas.
  • Runut Bunyi Tambahan: Penambahan tiga lagu ulang tahun baharu iaitu “Speed Is My Life” (Jun Senoue & NateWantsToBattle), “ONSOKU WO KOETE” (Yunosuke & Hatsune Miku), dan “Here We Go ~ Run to the Future” (Yousa Ling). Selain itu, terdapat 20 lagu tambahan siri Sonic serta runut bunyi daripada permainan arked dan rhythm games klasik SEGA seperti Rhythm Thief & the Emperor’s Treasure, Feel the Magic: XY/XX, The Rub Rabbits!, maimai DX, BURNING RANGERS, dan SPACE CHANNEL 5.
  • Sokongan Bahasa dan Kosmetik: Penambahan tetapan suara bahasa Cina, 15 decal kolaborasi jenama (seperti HIDDEN Lacing dan Dr. Squatch), serta 2 decal khas Yousa Ling.

Sonic Racing: CrossWorlds boleh dimainkan di platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC.

Leave a Reply