Sebagai filem kedua dalam DC Universe, naskhah ini menggalas tanggungjawab berat untuk meneruskan momentum cemerlang Superman. Berbeza dengan sepupunya yang boleh memfokuskan terus kepada aksi heroik tanpa perlu mengulangi kisah asal-usul, filem ini mengambil pendekatan berbeza. Penonton dibawa menelusuri kisah silam Kara Zor-El (Milly Alcock) dan pembinaan wataknya sebelum bergelar Supergirl.

Kisah bermula dengan Kara yang hilang arah, sering menghabiskan masa dengan minuman keras kerana ketiadaan motivasi hidup. Walaupun Superman kerap memujuknya untuk menyesuaikan diri di Bumi, Kara masih bergelut untuk menerima planet ini sebagai rumah baharunya. Filem ini juga merungkai kelainan pada naratif perjalanan Kara ke Bumi berbanding kisah yang sering kita ketahui memberikan satu perspektif penceritaan yang segar.
Titik perubahan berlaku dengan kehadiran Ruthye Marye Knoll (Eve Ridley). Dia cuba mengupah Kara untuk memburu Krem (Matthias Schoenaerts), ketua lanun kejam yang membunuh keluarganya. Walaupun pada mulanya menolak, Kara akhirnya bersetuju selepas Krem meracuni anjing peliharaannya, Krypto, memandangkan hanya Krem yang memiliki penawarnya. Dari sinilah bermulanya misi perburuan yang mendebarkan di antara Kara dan Krem.

Mengadaptasi komik Supergirl: Woman of Tomorrow, filem ini berjaya menyajikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, namun secara keseluruhannya terasa mendatar. Ironinya, kekuatan utama dan impak emosi filem ini tidak terletak pada pertempuran masa kini, tetapi pada babak imbas kembali yang memaparkan kemusnahan planet asal Kara, ia digarap dengan sangat cemerlang.
Kelemahan ketara filem ini berpunca daripada dinamik antara Kara dan Ruthye. Hubungan yang sepatutnya menjadi nadi penceritaan ini terasa hambar. Ia bukanlah kelemahan pelakon, tetapi berpunca daripada penulisan dan pilihan dialog yang kurang menyengat. Selain itu, Krem pula hanyalah antagonis satu dimensi; kekejamannya tiada motif mendalam dan tidak menyumbang kepada perkembangan plot. Dari sudut aksi, koreografinya memuaskan, ditambah lagi dengan kehadiran Lobo (Jason Momoa) yang ingin memburu salah seorang konco Krem, malangnya sesetengah pilihan kreatif pengarah merencatkan potensi sebenar pertempuran tersebut.

Filem ini juga membawa saya ke pelbagai dunia yang berbeza dengan penghasilan dunia di angkasa dilakukan dengan agak menarik, melihat pelbagai tamadun yang berbeza, tetapi pada masa yang sama kesemua planet ini tidak lebih sebagai persinggahan sahaja dan tidak menjadi bahagian penting untuk perjalanan jalan cerita membuatkan ia sedikit mengecewakan. Nashkah ini juga memberikan fokus kepada perbezaan matahari-matahari yang memberi kesan berlainan kepada Kara, ia mempunyai impak yang besar dalam penceritaan dan menarik tetapi tidak sentiasa menjadi di dalam penghasilannya.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Milly Alcock. Dia mempamerkan lakonan yang mantap, walaupun skrip lebih menuntutnya menjiwai trauma Kara berbanding sisi adiwira Supergirl. Walaupun proses transformasinya sedikit terjejas oleh kelemahan perhubungannya dengan Ruthye dan watak antagonis, ia masih berjaya disampaikan dengan baik. Prestasi ini pastinya membuatkan penonton tidak sabar menantikan gandingan Superman dan Supergirl pada masa hadapan.

Kesimpulannya, Supergirl menterjemahkan perjalanan transformasi Kara dengan baik, namun potensi naskhah ini terhalang oleh olahan antagonis yang lemah, dialog yang hambar, serta penyampaian adegan aksi yang tidak berkesan. Ia masih satu filem yang berbaloi untuk ditonton, tetapi anda mungkin akan meninggalkan pawagam dengan perasaan bahawa filem ini berpotensi untuk menjadi jauh lebih hebat serta tidak dapat untuk mempertingkatkan lagi momentum yang di bawa oleh Superman sebelum ini tetapi sekadar meneruskan pada tahap yang sama sahaja.


