Bagi pengikut siri filem Qodrat, Badut Gendong boleh disifatkan sebagai naskhah ketiga dalam francais ini. Berbeza dengan filem terdahulu yang memfokuskan kepada Ustad Qodrat, filem ini bertindak sebagai prekuel atau kisah permulaan kepada sang badut gendong yang berkemungkinan besar akan menjadi musuh utama Qodrat pada masa hadapan. Oleh itu, naratifnya menumpukan kepada evolusi badut gendong daripada sekadar persembahan jalanan bertukar menjadi satu ancaman maut.

Plot bermula dengan memfokuskan sepasang suami isteri, Darso (Marthino Lio) dan Darsi (Davinta Melira) yang menyara hidup dengan membuat persembahan badut gendong di jalanan. Darso menerima perkhabaran gembira apabila Darsi disahkan hamil tiga bulan. Sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran cahaya mata, mereka merancang untuk pulang ke kampung halaman. Malangnya, dalam perjalanan, mereka dirompak oleh sekumpulan penjenayah. Desakan untuk mempertahankan wang simpanan mereka bertukar tragedi apabila pergelutan tersebut mengakibatkan Darsi terjatuh lalu meninggal dunia.

Akibat gagal menerima kenyataan, Darso membawa pulang jasad isterinya ke kampung dengan menjadikannya sebahagian daripada kostum badut gendong. Setibanya di sana, kampung tersebut sedang bergolak akibat campur tangan sebuah syarikat korporat yang mahu merampas tanah penduduk. Dalam kekacauan itu, bomoh kampung bernama Ki Kamboja (Barry Prima) telah ditikam. Sebelum rebah tidak sedarkan diri, dia sempat melontarkan satu sumpahan yang mengundang entiti jahat untuk merasuki jasad Darsi.

Apabila Darso memakai kostum badut gendong tersebut, entiti itu akan mengambil alih, menyebabkan Darso hilang kawalan sepenuhnya. Entiti ini bertindak ganas dengan membunuh sesiapa sahaja yang pernah menzalimi Darso, serta mereka yang menghalang agendanya. Pada mulanya, ia memberikan ilusi seolah-olah entiti ini adalah seorang anti-hero. Namun, sebagai sebahagian daripada alam semesta Qodrat, ia tetap roh jahat yang mendatangkan bahaya kepada manusia, di mana hanya Darso yang masih cuba mengekalkan sisa kawalan dirinya.

Dari segi penceritaan, pembinaan watak Darso dan transisinya menjadi badut gendong digarap dengan cemerlang. Walau bagaimanapun, terdapat kelompangan dalam naratif, terutamanya pada subplot yang melibatkan syarikat korporat sebagai antagonis utama. Penglibatan mereka terasa agak bercelaru dan gagal memberikan impak dramatik yang sepatutnya. Kebanyakan watak sokongan juga kelihatan terlalu klise, sekadar wujud untuk menonjolkan sifat kejam manusia hanya watak Arini (Clara Bernadeth) dan Jamil (Derby Romero) yang memperlihatkan sisi positif. Kekurangan ini menjadikan penceritaan sedikit mendatar dan kurang dinamik. Biarpun begitu, filem ini masih berjaya mengembangkan lore yang menarik mengenai kaitan antara entiti tersebut dan Ki Kamboja.

Bagi peminat elemen seram yang ekstrem atau gore, filem ini pastinya memuaskan hati. Aksi pembunuhan divisualkan dengan sangat ngeri termasuk adegan kulit kepala dikelar menggunakan pisau. Menariknya, filem ini melebihkan elemen aksi ganas berbanding seram, namun masih menyelitkan adegan jump-scare yang efektif dan tidak dijangka.

Dari aspek lakonan, Marthino Lio wajar dipuji. Dia berjaya menterjemahkan watak Darso dengan berkesan, baik dalam keadaan normal mahupun ketika dikawal sepenuhnya oleh badut gendong. Sebaliknya, barisan pelakon lain terikat dengan skrip yang kurang dinamik, menjadikan kebanyakan watak antagonis terasa terlalu tipikal dan satu dimensi.

Kesimpulannya, sebagai naskhah pengenalan kepada seteru baharu Ustad Qodrat, Badut Gendong berjaya menyajikan lapisan watak utama yang kompleks dan menarik. Walaupun sarat dengan babak ngeri yang pasti digemari peminat genre gore, filem ini sedikit tersandung akibat penceritaan subplot konflik tanah yang kurang kemas. Pun begitu, ia kekal sebagai satu tontonan yang menghiburkan dan berjaya membangkitkan rasa teruja penonton untuk menantikan kemunculan semula badut gendong dalam naskhah akan datang. Filem ini akan menjadi lebih dihargai jika anda sudah mengenali dunia Qodrat tetapi ia bukanlah keperluan sebelum menonton filem ini.

Badut Gendong
Sebagai naskhah pengenalan kepada seteru baharu Ustad Qodrat, Badut Gendong berjaya menyajikan lapisan watak utama yang kompleks dan menarik. Walaupun sarat dengan babak ngeri yang pasti digemari peminat genre gore, filem ini sedikit tersandung akibat penceritaan subplot konflik tanah yang kurang kemas.
Positif
Kisah badut gendong yang menarik
Adegan ganas
Negatif
Pembinaan subplot kurang berkesan
Perwatakan watak sampingan kurang dinamik
7

Leave a Reply

Final Score