Francais filem seram serantau, Qodrat Cinematic Universe, kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Badut Gendong yang dijadualkan tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Jun 2026.
Filem ini membawakan genre horror action dan diterbitkan secara kolaborasi antara MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Astro Shaw, Enotech, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio, serta Alunan. Badut Gendong merupakan naskhah ketiga dalam francais ini selepas tayangan Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025).
Naskhah ini membawakan kelainan dengan mengangkat realiti kehidupan komuniti kelas bawahan serta aspek psikologi, berbanding hanya bergantung kepada elemen gangguan mistik komersial semata-mata. Kisahnya memfokuskan kepada Darso (Marthino Lio), seorang penghibur jalanan yang berdepan tragedi apabila isterinya yang sedang hamil, Darsi (Dayinta Melira), dibunuh oleh sekumpulan penjenayah.


Dalam keadaan berduka, Darso memasukkan jasad isterinya ke dalam kostum badut untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Keadaan menjadi semakin kacau-bilau semasa karnival tradisional akibat tindakan ganas seorang pemaju, yang membawa kepada tindakan bomoh kampung, Ki Kamboja, melepaskan sumpahan sebelum ditembak. Sumpahan itu menyebabkan jasad Darsi dirasuki entiti jahat purba, sekali gus mengganggu rancangan asal Darso untuk membalas dendam.
Filem ini diarahkan oleh Charles Gozali, yang turut menulis skrip bersama Asaf Antariksa dan Dharma Putra. Dari segi naratif, watak Darso direncanakan untuk bertemu dengan Ustaz Qodrat dalam projek masa hadapan sebagai strategi pengembangan francais.


Selain watak utama, filem ini turut membariskan pelakon seperti Clara Bernadeth (Arini), Derby Romero (Jamil), Iskak Khivano (Billy), Vonny Anggraini (Yu Tini), Totos Rasiti (Lik Badrun), Insan Nur Akbar (Andul), Barry Prima (Ki Kamboja), dan Jose Rizal Manua (Mbah Kaum).


