AMD telah melancarkan kemas kini pemacu grafik AMD Software: Adrenalin Edition 26.6.2 yang membawakan sokongan teknologi penskalaan AMD FSR 4.1 kepada kad grafik siri Radeon RX 7000 (RDNA 3). Perkara ini diumumkan oleh Jack Huynh melalui platform X.

Teknologi penskalaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) ini pada asalnya dikhaskan secara eksklusif untuk perkakasan RDNA 4 sahaja. Pengenalan versi FSR 4.1 pada siri RX 7000 membolehkan pengguna menerima kualiti imej yang lebih tajam, kestabilan temporal yang lebih baik, serta peningkatan prestasi dalam lebih daripada 300 judul permainan video. Bagi pengguna APU RDNA 3, AMD turut mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan model pembelajaran mesin yang lebih ringan bagi membawakan ciri FSR 4.1 tersebut pada masa hadapan.
Selain pengenalan fungsi penskalaan itu, pemacu grafik terbaharu ini turut menawarkan sokongan hari pertama untuk dua permainan video baharu, iaitu Assassin’s Creed Black Flag Resynced dan DOOM: The Dark Ages | Revelations bagi memastikan prestasi yang dioptimumkan. Beberapa penambahbaikan untuk kestabilan sistem keseluruhan juga disertakan untuk semua pengguna AMD Radeon.
Kemas kini versi AMD Software: Adrenalin Edition 26.6.2 kini sudah boleh dimuat turun. Sekiranya pengguna perlu melakukan proses penurunan versi pemacu ke versi yang terdahulu, AMD menyarankan penggunaan utiliti AMD Cleanup Utility.


