UGREEN telah mengumumkan susulan kerjasama mereka dengan HoYoverse untuk melancarkan siri perkakasan pengecasan edisi terhad yang membawakan tema watak Yao Guang daripada permainan video Honkai: Star Rail. Siri kolaborasi bertemakan “Power Up for the Next Trailblaze” ini memperkenalkan lima aksesori utama yang direka untuk kegunaan mobiliti dan pengecasan peranti Mobile.
Berikut adalah perincian spesifikasi bagi setiap peranti pengecasan yang diumumkan:
UGREEN MagFlow Air Magnetic Power Bank Honkai: Star Rail Edition
Power bank magnetik ini hadir dengan reka bentuk nipis berukuran 13.9mm yang menyokong pengecasan pantas wayarles magnetik 15W. Peranti ini turut dilengkapi dengan kabel Type-C terbina yang menyokong pengecasan pantas dua hala 30W, membolehkan pengguna mengecas peranti sambil bermain secara berterusan. Ciri keselamatan diuruskan oleh teknologi kawalan suhu pintar Thermal Guard serta sistem perlindungan keselamatan 13-fasa.
UGREEN Nexode Air Charger Honkai: Star Rail Edition
Pengecas ini menawarkan teknologi pengecasan pantas GaN berkuasa tinggi sehingga 65W dalam saiz yang kompak. Ia dilengkapi sistem pembahagian kuasa pintar yang mengesan peranti secara automatik untuk mengoptimumkan laluan tenaga. Aspek keselamatan peranti ini disokong oleh teknologi Thermal Guard dan mekanisme perlindungan 9-fasa.

UGREEN Nexode Retractable USB-C Cable Honkai: Star Rail Edition
Kabel data jenis boleh ditarik ini menyokong pengecasan pantas pada kelajuan penuh sehingga 100W serta pemindahan data berkelajuan tinggi. Di dalamnya terdapat cip E-marker terbina yang berfungsi mengenal pasti keperluan kuasa peranti bagi mengelakkan masalah lebihan bebanan, manakala reka bentuknya memfokuskan kepada ketahanan tarikan untuk storan harian.
UGREEN FineTrack Mini 2 Honkai: Star Rail Edition
Ini merupakan peranti penjejak pintar pertama yang diperkenalkan dalam siri kolaborasi ini. Ia menyokong ekosistem Apple Find My untuk penjejakan masa nyata serta amaran perkongsian lokasi. Penjejak ini dilengkapi dengan bunyi ping sekuat 110dB, penarafan kalis air dan habuk IP68, serta jangka hayat bateri yang panjang untuk pengurusan pelbagai peranti.
UGREEN Nexode Pro Power Bank Honkai: Star Rail Edition
Power bank ini menawarkan kapasiti bateri sebesar 10,000mAh yang menyokong pengecasan pantas satu port 45W/55W dan pengecasan semula kendiri 35W. Ia mampu membekalkan kuasa kepada tiga peranti secara serentak. Paparan skrin pintar disediakan bagi menunjukkan maklumat masa nyata seperti peratusan baki bateri, jumlah kuasa input/output, dan status pengecasan pantas. Kawalan suhu peranti ini menggunakan teknologi Thermal Guard berserta mekanisme perlindungan 14-fasa.
Sebagai tambahan kepada perkakasan tersebut, UGREEN turut menyediakan kotak hadiah pengumpul (collectible giftbox) khas yang menyertakan siri produk di atas bersama barangan cenderamata watak. Kotak hadiah ini mengandungi chibi character stand, kad lutsinar, lencana, tiket holografik, tali lanyard, dan beg simpanan yang direka khas mengikut tema visual Yao Guang. Bagaimanapun, produk UGREEN Nexode Pro Power Bank 10,000mAh tidak disertakan di dalam kotak hadiah tersebut dan perlu didapati secara berasingan.
Siri kolaborasi UGREEN × Honkai: Star Rail kini sudah mula dijual dan akan diedarkan secara berperingkat melalui saluran runcit dalam talian serta luar talian di seluruh dunia. Sebarang maklumat lanjut mengenai harga rasmi, pilihan warna, dan ketersediaan mengikut pasaran tempatan boleh disemak melalui laman web rasmi www.ugreen.com.


