Kadokawa, syarikat Jepun yang merupakan syarikat induk untuk FromSoftware pembangun Elden Ring, dijangka melalui mesyuarat agung tahunan (AGM) yang tegang pada hari Rabu ini. Berdasarkan laporan Reuters, Ketua Pegawai Eksekutif Takeshi Natsuno kini berdepan desakan untuk meletak jawatan daripada pemegang saham terbesarnya, Oasis Management, akibat kemerosotan prestasi kewangan syarikat.

Oasis Management, sebuah firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong yang memegang 13.76 peratus kepentingan dalam Kadokawa, mendakwa Natsuno gagal memaksimumkan pulangan daripada kejayaan Elden Ring. Walaupun permainan yang dibangunkan hasil kerjasama pengarah Hidetaka Miyazaki dan penulis George R. R. Martin itu mencetuskan fenomena global, Oasis mendakwa syarikat mengalami “kebocoran keuntungan yang ketara”. Perkara ini berpunca daripada langkah Kadokawa membenarkan Bandai Namco menguruskan penerbitan antarabangsa permainan tersebut, dan bukannya menerbitkannya sendiri menerusi unit FromSoftware.

Kelemahan ini turut dicerminkan melalui laporan kewangan syarikat. Kadokawa mencatatkan kejatuhan teruk dalam pulangan ekuiti (ROE) kepada hanya 0.5 peratus pada tahun lalu berbanding 9.4 peratus pada tahun yang berakhir pada Mac 2022. Syarikat itu juga gagal mencapai sasaran keuntungan operasi tahunannya pada bulan Mei, walaupun telah membuat semakan unjuran ke bawah lebih awal.

Selain isu keuntungan perniagaan utama, kredibiliti pengurusan Natsuno turut terjejas akibat rentetan krisis korporat. Kadokawa baru-baru ini berdepan insiden kebocoran data berikutan serangan perisian tebusan, menerima amaran daripada Suruhanjaya Perdagangan Adil berhubung layanan buruk terhadap pekerja kontrak, dan terpalit dalam skandal rasuah Olimpik yang membawa kepada sabitan kesalahan bekas pengerusinya, Tsuguhiko Kadokawa.

Desakan Oasis untuk menyingkirkan Natsuno turut disokong oleh firma penasihat proksi terkemuka dunia. Institutional Shareholder Services menyatakan usaha mencari pengganti baharu adalah satu cabaran yang wajar diambil, manakala Glass Lewis secara langsung mengesyorkan pemegang saham untuk mengundi menolak pelantikan semula Natsuno.

Walau bagaimanapun, lembaga pengarah Kadokawa tetap mempertahankan kedudukan beliau dengan alasan bahawa penyingkirannya akan membawa ketidakpastian ketika syarikat sedang melaksanakan pembaharuan struktur. Natsuno, yang menerajui syarikat sejak 2021, sebelum ini berjaya meraih 90 peratus undian sokongan pada AGM tahun lalu. Sony, yang memiliki 10 peratus kepentingan dan pernah meletakkan harapan untuk mencetuskan perubahan di Kadokawa sejak 2024, enggan mengulas mengenai pendirian undian mereka.

Sekalipun Natsuno berjaya mengekalkan jawatannya, kejatuhan ketara dalam jumlah undi sokongan boleh memberi tekanan berterusan kepada Kadokawa untuk melaksanakan perubahan agresif, termasuk menambah peruntukan pelaburan bagi judul-judul permainan besar pada masa hadapan. Kes ini sejajar dengan trend pasaran Jepun semasa, yang menyaksikan cadangan pemegang saham aktivis untuk menentang pelantikan pengarah syarikat meningkat hampir tiga kali ganda pada tahun ini.

Leave a Reply