Valve secara rasmi melancarkan peranti gaming kompak baharu yang dikenali sebagai Steam Machine. Peranti berbentuk kiub bersaiz sekitar 6 inci ini direka untuk ekosistem permainan video desktop menggunakan sistem operasi SteamOS yang dioptimumkan sepenuhnya untuk kegunaan bermain permainan video.

Konsol ini berfungsi secara senyap dan kekal sejuk, serta dilengkapi dengan bekalan kuasa dalaman, jalur lampu LED, sokongan Wi-Fi 6E 2×2, serta Bluetooth 5.3 dengan antena berdedikasi. Peranti ini juga sedia untuk disambungkan kepada pelbagai jenis monitor dan perkakasan luaran.

Steam Machine dikuasakan dengan CPU dan GPU kelas desktop separa tempahan daripada AMD. Kombinasi ini menawarkan kuasa pemprosesan sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding Steam Deck, membolehkannya menjalankan permainan AAA pada resolusi 4K dengan kadar kelancaran 60 FPS menggunakan teknologi FSR. Varian ini dilengkapi dengan dua pilihan kapasiti storan iaitu 512GB dan 2TB.

Pendaftaran untuk tempahan Steam Machine kini telah dibuka melalui sistem rawak bagi memastikan pengalaman pembelian yang adil serta mengehadkan aktiviti resellers. Pengguna boleh mendaftar untuk model atau berkas pilihan di laman produk sehingga 25 Jun sebelum senarai giliran ditentukan. Emel pengesahan sama ada dimasukkan ke dalam barisan tempahan atau senarai menunggu akan dihantar pada 25 Jun, manakala proses pembelian untuk kumpulan pertama akan bermula pada 29 Jun 2026.

Penghantaran secara terus akan dilakukan melalui Steam di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Kesatuan Eropah, dan Australia. Bagi pasaran Jepun, Taiwan, dan Hong Kong, peranti ini akan tersedia melalui pengedar sah iaitu KOMODO.

Steam Machine dengan storan 512GB dijual pada harga $1,049. Pilihan berkas bersama Steam Controller pula ditawarkan pada harga $1,128. Bagi model Steam Machine 2TB yang didatangkan bersama panel muka tambahan fabrik merah dan kayu walnut, ia berharga $1,349. Manakala berkas model 2TB bersama Steam Controller pula ditawarkan pada harga $1,428 USD.

Leave a Reply