Apple TV bakal melancarkan siri komedi terbaharu bertajuk Brothers pada 23 September ini. Siri yang mengandungi lapan episod ini menampilkan gandingan pemenang Anugerah Akademi, Matthew McConaughey, dan pencalon Anugerah Akademi, Woody Harrelson, yang turut bertindak selaku penerbit eksekutif.
Dua episod pertama siri ini akan mula disiarkan pada tarikh pelancaran, manakala baki episod seterusnya akan menemui penonton pada setiap hari Rabu sehingga 4 November 2026.

Brothers mengisahkan versi fiksyen kehidupan McConaughey dan Harrelson. Hubungan persahabatan mereka mula tergugat selepas satu rahsia lama terbongkar yang membayangkan bahawa mereka mungkin adik-beradik kandung. Kisah bermula apabila Woody membawa keluarganya tinggal di ladang milik Matthew yang terletak di Austin selepas perkahwinan anak perempuannya musnah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila ibu Matthew, Ma Mac (lakonan Holland Taylor), secara tidak sengaja mendedahkan rahsia tersebut. Ketika Woody sibuk mencari kebenaran, Matthew pula berdepan krisis identiti tersendiri berikutan perancangan untuk bertanding dalam pemilihan Gabenor Texas.
Siri terbitan Paramount Television Studios ini diterajui oleh Lee Eisenberg selaku showrunner dan penerbit eksekutif. Barisan pelakon lain yang turut membintangi siri ini termasuk Natalie Martinez, Brittany Ishibashi, Nolan Almeida, Ella Grace Helton, Noah Carganilla, Highdee Kuan, dan Oona Yaffe. Pengarahan bagi beberapa episod termasuk episod pertama dikendalikan oleh Trent O’Donnell. Penerbit eksekutif lain yang terlibat ialah Natalie Sandy, David West Read, Trish Hofmann, Bill Bost, Jason Winer, David Finkel & Brett Baer, serta Jeremy Plager.
Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan di Malaysia melalui tv.apple.com/my dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pengguna baharu. Pengguna yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac turut layak menerima akses percuma selama tiga bulan untuk tempoh terhad.


