Bandai Namco telah mengumumkan Tales of Eternia Remastered sebagai judul terbaharu di bawah projek Tales of Remastered Project. Permainan bergenre Action RPG ini dijadualkan tiba pada 15 Oktober 2026 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam. Edisi fizikal bagaimanapun hanya ditawarkan secara khusus untuk platform PlayStation 5 dan Nintendo Switch.

Tales of Eternia Remastered membawakan kisah pengembaraan yang berlaku di antara dua dunia yang saling berhadapan di ruang angkasa, iaitu Inferia dan Celestia. Naratifnya bermula di sebuah kampung terpencil bernama Rasheans, apabila watak utama bernama Reid Hershel bersama rakan masa kecilnya, Farah Oersted, bertemu dengan seorang gadis misteri bernama Meredy yang bertutur dalam bahasa asing. Melalui pertemuan itu, mereka mendapat tahu mengenai ancaman “Grand Fall”, iaitu bencana perlanggaran antara dua dunia yang mampu memusnahkan keseluruhan alam tersebut. Demi menghalang malapetaka ini, Reid dan rakan-rakannya perlu mengembara memanfaatkan kuasa roh elemen yang dikenali sebagai Greater Craymels.

Dari segi mekanik pertempuran, edisi ini mengekalkan sistem aksi 2D asal iaitu Aggressive Linear Motion Battle System (A-LMBS). Pemain akan mengawal watak untuk melancarkan rantaian serangan Artes secara taktikal bersama ahli kumpulan lain dalam pertempuran yang pantas.

Bagi menyesuaikan permainan yang telah berusia lebih 20 tahun ini untuk pemain moden, beberapa fungsi baharu disertakan. Antaranya termasuklah kebolehan untuk menutup paparan ikon destinasi, mematikan fungsi pertembungan musuh, serta pilihan mod kelajuan tinggi untuk fungsi pertempuran automatik. Pemain yang mahu merasai nostalgia asal juga boleh menggunakan fungsi penukaran mod grafik dan kesan bunyi bagi mengembalikan atmosfera versi asal permainan tersebut.

Leave a Reply