Penerbit permainan video Soft Source dengan kerjasama studio Digital Happiness secara rasmi telah melancarkan permainan seram terbaharu, Jurnal Risa: Dark Destiny untuk konsol. Sebelum ini ia sudah dilancarkan untuk PC.

Permainan ini boleh didapati bermula hari ini di platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series, dan Nintendo Switch. Bagi pemain yang memilih untuk memiliki salinan fizikal, edisi fizikal untuk PlayStation 5 dijadualkan berada di pasaran pada 9 Julai 2026.

Jurnal Risa: Dark Destiny merupakan sebuah permainan genre paranormal mystery visual novel yang membawakan jalan cerita baharu yang belum pernah didedahkan sebelum ini mengenai kumpulan penyiasat mistik Jurnal Risa. Kumpulan tersebut terkenal dengan kandungan meneroka tempat berhantu dan berkongsi kisah paranormal sebenar di Indonesia.

Naratif permainan ini memfokuskan kepada kebangkitan semula musuh tradisi kumpulan Jurnal Risa. Pemain perlu mengumpul serpihan kisah lampau dan menyelesaikan misteri untuk merungkai takdir gelap yang menyelubungi watak tersebut.

Bagi mengekalkan keaslian hubungan dan personaliti setiap ahli, Jurnal Risa: Dark Destiny menampilkan sokongan lakonan suara penuh yang dijayakan sendiri oleh ahli sebenar kumpulan Jurnal Risa.

Selain daripada penyampaian cerita berasaskan teks visual novel, permainan ini turut dilengkapi dengan gabungan ilustrasi khusus serta beberapa permainan mini yang perlu diselesaikan oleh pemain sepanjang pengembaraan mistik ini. Permainan ini dibangunkan dengan menggunakan enjin pembangunan Unreal Engine.

Pembangun permainan ini, Digital Happiness, merupakan studio yang berpangkalan di Bandung, Indonesia. Studio ini sebelum ini terkenal melalui permainan DreadOut, yang menjadi permainan video seram Indonesia pertama yang berjaya melepasi angka 1 juta muat turun di kesemua platform.

Leave a Reply