Nintendo telah menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh pelancaran untuk Nintendo Switch Sports Resort, yang akan ditawarkan secara eksklusif bagi konsol Nintendo Switch 2. Pra-tempahan bagi permainan tersebut telah mula dibuka menerusi platform pengedaran digital Nintendo eShop.
Berlatarkan kawasan maya Wuhu Island, judul genre Sports ini menyokong penciptaan dan penggunaan watak pemain daripada jenis Sports Mate mahupun Mii. Dari segi corak permainan, ia menggunakan sistem kawalan pergerakan di mana pemain akan memanfaatkan alat kawalan Joy-Con 2 yang boleh bertindak sebagai pelbagai kelengkapan, termasuk raket, busur, dan pemegang stereng.
Secara keseluruhan, Nintendo Switch Sports Resort padat dengan 12 acara sukan yang merangkumi tinju, pingpong, memanah, tenis, bola tampar, boling, bola keranjang, golf, gusti ibu jari, papan selaju, luncur air bermotor (Power Cruising), dan penerbangan pesawat berkipas (Prop Plane). Turut disertakan bersama kesemua pilihan tersebut adalah mod pemanasan badan yang menggunakan aktiviti lompat tali.


