The Legend of Zelda: Ocarina of Time secara rasminya akan kembali. Melalui siaran Nintendo Direct yang terbaru, Nintendo telah mengumumkan bahawa permainan bergenre Action-Adventure tersebut sedang dibangunkan untuk platform Nintendo Switch 2 dan dijadualkan untuk pelancaran pada tahun 2026.

Pengumuman ini dibuat menerusi sebuah video acah ringkas yang tidak memaparkan sebarang bentuk permainan (gameplay), sebaliknya memfokuskan kepada penceritaan pembukaan naratif permainan tersebut. Video bermula dengan pendedahan logo rasmi Nintendo Switch 2, sebelum ia beralih kepada visual gaya permaidani tenunan yang menceritakan tentang asal usul ciptaan kerajaan Hyrule dan kawasan hutan yang didiami oleh penduduk Kokiri.

Fokus utama treler ini diakhiri dengan paparan watak utama, Link, yang sedang tidur di dalam hutan tanpa pari-pari, menonjolkan kualiti grafik dan model watak yang dipertingkatkan secara drastik berbanding versi asal.

Buat masa ini, Nintendo hanya mengesahkan ketersediaan permainan ini untuk Nintendo Switch 2 pada tahun 2026. Tiada butiran tambahan mengenai mekanik permainan, harga, atau tarikh pelancaran spesifik yang dikongsikan dalam pembentangan awal ini.

Leave a Reply