Telltale Games secara rasmi mengumumkan bahawa sekuel yang lama dinantikan, The Wolf Among Us 2, bakal dilancarkan pada tahun 2027. Pengumuman yang dibuat bersempena dengan acara Summer Game Fest itu turut mendedahkan bahawa para pemain bakal menerima The Wolf Among Us Remastered terlebih dahulu pada akhir tahun ini.
Telltale juga mengumumkan kerjasama dengan PM Studios sebagai rakan penerbit bersama. Walau bagaimanapun, Telltale kekal menerajui pembangunan kreatif dan hala tuju penceritaan bagi francais berkenaan. Kedua-dua permainan video ini dihasilkan di bawah lesen rasmi daripada Warner Bros. Interactive Entertainment bagi pihak DC berdasarkan siri komik FABLES daripada imej Vertigo DC.
The Wolf Among Us Remastered pula akan dilancarkan pada akhir 2026 untuk platform PC, PlayStation 5, Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, serta Xbox One yang turut boleh dimainkan di Xbox Series melalui fungsi keserasian belakang. Edaran dalam bentuk fizikal pula akan menyusul kemudian pada musim cuti yang sama.
Edisi remastered yang dibina semula ini merangkumi kesemua lima episod asal, Episode 1: Faith, Episode 2: Smoke and Mirrors, Episode 3: A Crooked Mile, Episode 4: In Sheep’s Clothing, dan Episode 5: Cry Wolf. Versi ini membawakan pelbagai peningkatan teknikal termasuk visual yang dipertingkat, persembahan watak serta persekitaran yang diperhalusi, kemas kini antaramuka pengguna, fungsi kebolehcapaian, serta penambahbaikan pada animasi, audio, resolusi, dan kadar bingkai. Selain itu, pemain akan mendapat akses kepada kandungan bonus melebihi satu jam yang memaparkan video di sebalik tabir, temu bual barisan pelakon, galeri imej, dan babak yang dipotong.
Sementara itu, plot bagi The Wolf Among Us 2 akan mengambil tempat selepas peristiwa dalam permainan pertama, di mana watak dongeng hidup tersembunyi di kalangan manusia di bandar New York moden. Penceritaan kali ini memfokuskan kepada usaha Snow White untuk mengekalkan keamanan mutlak dalam komuniti Fabletown, manakala Bigby Wolf selaku syerif ditarik masuk ke dalam konspirasi berbahaya yang membabitkan kawasan jenayah bawah tanah.


