Bandai Namco ketika State of Play telah mengumumkan Ace Combat 8: Wings of Theve bakal dilancarkan secara rasmi di pPlayStation 5, Xbox Series, serta PC pada 2 Oktober 2026. Judul terbaharu siri simulasi penerbangan ini mengekalkan mod Campaign berkonsepkan single-player yang ditulis oleh Sunao Katabuchi, dan bakal menampilkan pertempuran melawan senjata pemusnah berskala besar, termasuk sebuah ‘Land Battleship’ berukuran 450 meter yang mempunyai meriam utama yang mampu menghancurkan keseluruhan bandar.

Permainan ini berlatarbelakangkan dunia Strangereal pada Julai 2029. Pemain akan dibawa ke tengah-tengah krisis peperangan di mana Republic of Sotoa telah menawan Theve, iaitu ibu kota Federation of Central Usea (FCU). Dengan kekuatan tentera FCU yang lumpuh, pemain memulakan kempen dari sebuah kapal pengangkut usang bernama Endurance.

Sebagai komander kepada Joker Squadron, pemain perlu memimpin pasukan untuk merampas semula Theve sambil menguruskan taktik di ruang udara. Buat pertama kalinya, pemain diberi kebebasan untuk menentukan komposisi pesawat ahli pasukan dan memberi arahan terus kepada mereka semasa pertempuran untuk memastikan kejayaan misi. Misi-misi yang disediakan tidak hanya terhad kepada aksi dogfights, tetapi turut merangkumi operasi serangan darat, anti-kapal, dan peperangan maklumat menentang skuadron musuh elit.

Pemain mempunyai akses kepada lebih 30 pilihan pesawat yang merangkumi model dunia sebenar dan rekaan fiksyen. Setiap pesawat dikategorikan kepada empat kelas utama: fighters, attack aircraft, multi-role aircraft, dan electronic warfare aircraft. Pemilihan jentera yang tepat adalah kunci utama untuk mengatasi senario pertempuran yang pelbagai.

Sepanjang kempen, pemain akan diiringi oleh barisan juruterbang dengan latar belakang yang pelbagai. Pasukan Joker Squadron terdiri daripada Mejar Ellington “Professor” Baxter, bekas seorang pensyarah; Leftenan Muda Tasha Seversky, bekas juruterbang akrobatik pasukan Zvezda; dan Kapten William “Noise” Coster yang gemar mendengar muzik rock ketika berada di dalam kokpit. Turut menyertai operasi dari kapal Endurance ialah Leftenan Komander Kate Evans yang mengetuai Queen Flight. Dia merupakan seorang pemimpin berdedikasi yang menyembunyikan parut pertempuran dan ketakutan peribadinya demi menjaga keselamatan anak buahnya.

Leave a Reply