Sempena acara Computex 2026, Acer telah perbaharui penawaran peranti gaming mereka dengan pelancaran siri komputer riba baharu yang dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 50 Series, berserta sebuah peranti mudah-alih streaming pertama mereka, Acer Nitro Blaze Link.

Model mercu mereka, Predator Helios 18 AI (PH18-171), menawarkan spesifikasi tertinggi yang merangkumi pilihan pemproses sehingga Intel Core Ultra 9 290HX Plus dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 Laptop GPU berserta 24GB GDDR7 VRAM.

Bagi menyokong prestasi tahap tinggi, ia membenarkan konfigurasi memori DDR5 sehingga 256GB dan gabungan ruang storan berjumlah 6TB menerusi tiga slot PCIe Gen 5 NVMe SSD. Komputer riba seberat 3.5 kilogram ini menggunakan paparan Mini LED 18 inci berspesifikasi Dual-Mode, membolehkan pengguna menukar antara resolusi 4K pada 120Hz atau resolusi FHD pada 240Hz dengan tahap kecerahan mencecah 1000 nits dalam mod HDR.

Sistem penyejukannya pula bergantung kepada dua unit kipas 6th Gen Predator AeroBlade 3D yang menampilkan bilah logam senipis 0.05mm bagi memberikan peningkatan aliran udara sebanyak 20 peratus berbanding kipas plastik biasa.

Bagi segmen pemproses AMD, Acer mengumumkan Nitro 16 (AN16-A91) sebagai komputer riba pertama mereka yang dilengkapi siri pemproses sehingga AMD Ryzen 9 9955HX3D. Unit ini dipadankan dengan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti Laptop GPU yang mempunyai 12GB GDDR7 VRAM. Paparannya menggunakan skrin 16 inci WQXGA dengan kadar segar semula 240Hz, sementara ruang dalamannya menyokong memori DDR5 sehingga 32GB dan storan 2TB. Kedua-dua model komputer riba ini beroperasi menggunakan Windows 11 dan disertakan bersama pas langganan percubaan PC Game Pass atau Xbox Game Pass.

Selain komputer riba, Acer turut menambah penawaran peranti mudah alih melalui Acer Nitro Blaze Link (GN772). Berbeza dengan Predator Atlas 8, model seberat 464 gram ini dikhususkan sepenuhnya untuk streaming tanpa sebarang kapasiti pemprosesan dalam peranti. Peranti ini dikuasakan oleh sistem operasi Linux (Debian) serta perisian Sunshine dan Moonlight untuk menstrim permainan daripada komputer peribadi menerusi sambungan Wi-Fi 6. Spesifikasi perkakasannya direka khusus untuk menampung paparan penstriman, menampilkan skrin sentuh WUXGA 7 inci, memori 1GB LPDDR4, dan 8GB storan eMMC bersama bateri berkapasiti 18Wh.

Melengkapkan penawaran ekosistem komputer ini adalah papan kekunci Predator Aethon 750 TKL yang memuatkan suis magnetik dengan polling rate 8,000Hz, serta beg galas Predator Robust Plus yang direka khas untuk memuatkan komputer riba bersaiz 18 inci beserta ruang pengecasan terbina dalam.

Siri Predator Helios 18 AI dan Nitro 16 dijadualkan mula dijual di pasaran Amerika Utara dan EMEA pada Ogos 2026. Acer Nitro Blaze Link dan papan kekunci Predator Aethon 750 TKL disasarkan untuk pasaran terpilih pada suku keempat tahun ini, manakala beg galas Robust Plus akan dilancarkan pada suku ketiga.

Leave a Reply