Kempen jualan tahunan PlayStation, Days of Play, kembali untuk tahun 2026 bermula 27 Mei hingga 10 Jun dengan penawaran diskaun yang menumpukan kepada perkakasan konsol, langganan PlayStation Plus, dan judul permainan fizikal mahupun digital.

Bagi pemain yang ingin melanggan perkhidmatan PlayStation Plus, diskaun sehingga 33% diberikan untuk langganan 12 bulan yang baharu. Pelanggan sedia ada di peringkat Essential atau Extra turut layak menerima potongan 33% ke atas baki tempoh langganan mereka sekiranya mereka menaik taraf ke pelan Deluxe.

Dari segi perkakasan, harga jualan bagi pelbagai aksesori rasmi PlayStation 5 telah diturunkan di peruncit yang mengambil bahagian di seluruh Asia Tenggara. Set kepala realiti maya PlayStation VR2 menerima potongan sebanyak RM480. Set kepala nirwayar Pulse Elite pula ditawarkan dengan pengurangan RM180. Sementara itu, alat kawalan nirwayar DualSense Edge dan DualSense masing-masing menerima diskaun RM130 dan RM54.

Permainan fizikal bagi konsol PS5 turut ditawarkan pada harga promosi, merangkumi judul utama seperti Ghost of Yōtei, DEATH STRANDING 2: ON THE BEACH, Astro Bot, dan Stellar Blade. Secara berasingan, promosi digital sedang berlangsung untuk ratusan judul di PlayStation Store, dengan pelanggan PlayStation Plus menerima potongan tambahan untuk permainan terpilih termasuk Cairn, Kena Bridge of Spirits, dan Balatro.

Ahli PlayStation Plus dari semua peringkat akan menerima akses kepada permainan bulanan baharu bermula 2 Jun, membabitkan Grounded Fully Yoked Edition, Nickelodeon All Star Brawl 2, dan Warhammer 40,000: Darktide. Permainan bulan Mei iaitu EA Sports FC 26 dilanjutkan tempoh penebusannya sehingga 16 Jun. Pada 9 Jun, pelanggan Extra dan Deluxe akan menerima penambahan Game Catalog melalui judul Destiny 2: Legacy Collection (2025) yang turut menyertakan pengembangan The Final Shape.

Untuk pelanggan peringkat Deluxe, lebih daripada 40 percubaan permainan untuk judul indie turut disediakan, termasuk Baby Steps, Lumines Arise, dan Clair Obscur: Expedition 33. Ahli juga boleh menebus pek dalam permainan secara eksklusif yang memfokuskan kepada barangan kosmetik dan mata wang maya untuk EA Sports FC 26, War of Tanks: HEAT, dan Marathon. Selain itu, avatar bertemakan permainan indie akan diedarkan secara percuma kepada semua pemain bermula 4 Jun.

Sepanjang kempen Days of Play, pelbagai kejohanan esukan dianjurkan dengan tawaran ganjaran seperti avatar profil khusus dan mata wang maya berganda melalui acara “Golden Tournaments” bagi permainan EA Sports FC 26, EA Sports Madden NFL 26, dan Mortal Kombat 1. Pemain Gran Turismo 7 yang bertanding akan menerima rekaan kenderaan khusus, manakala pertandingan Days of Play Cup bagi Fortnite menawarkan kumpulan hadiah wang tunai global yang bernilai $200,000.

Leave a Reply