Pengembangan pertama untuk permainan turn-based strategy Elemental: Reforged , berjudul Treasures of the Magi , kini tersedia untuk pemain. Pelancaran kandungan berbayar ini turut diiringi dengan pelancaran kemas kini percuma versi 1.1 yang membawakan perubahan mekanik permainan.

Berbeza dengan penceritaan utama, Treasures of the Magi membawa pemain meneroka kesan peninggalan dari era First Age of Elemental. Kebangkitan watak Fallen Enchantress telah mencetuskan gelombang sihir gelap yang mengaktifkan semula tentera golem purba milik golongan Magi yang sebelum ini tersembunyi. Perkembangan jalan cerita ini memperkenalkan raksasa baharu termasuk pelbagai variasi golem, serta pencarian baharu yang mengarahkan pemain untuk menyiasat rekahan bumi bagi mencari harta karun peninggalan era tersebut.

Dari aspek permainan, DLC ini menawarkan pelbagai kelengkapan baharu. Pemain boleh mendapatkan senjata, perisai unik, dan tongkat magis. Pembaharuan paling menonjol pada fasa pertempuran taktikal adalah pengenalan potion khas yang membolehkan watak pemain berubah menjadi beruang, ogre, syaitan, atau elemental.

Kemas kini percuma v1.1 memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti permainan berdasarkan maklum balas komuniti. Pihak pembangun bukan sahaja menyelesaikan pelbagai isu prestasi dan kestabilan, tetapi turut menyediakan kandungan yang dahulunya terikat dengan sistem berbayar. Semua senjata, perisai, aksesori, dan barangan gunaan dari DLC klasik Legendary Heroes kini dibuka secara percuma kepada semua pemain. Selain itu, sistem pembuatan juga dipermudahkan di mana pemain kini boleh membeli bahan pembuatan secara langsung dari kedai dalam permainan.

Treasures of the Magi sedang ditawarkan dengan diskaun pelancaran sebanyak 20 peratus sehingga 28 Mei ini. Ia boleh didapati melalui platform Steam atau secara terus dari kedai digital Stardock.

Leave a Reply