Moonton Games melancarkan Pertandingan Reka Skin Mobile Legends: Bang Bang 2026 yang menawarkan hadiah terkumpul berjumlah $49 Ribu berserta potensi tawaran pekerjaan. Inisiatif ini dibuka bagi mencari bakat ilustrator dari seluruh dunia untuk menghasilkan konsep rekaan wira baharu bagi permainan tersebut.

Pertandingan tahun ini membawakan tema utama “Era of Awakening: The Clash of Two Destinies”. Peserta perlu memilih salah satu daripada dua konsep tamadun yang berbeza, iaitu tamadun berteraskan teknologi (The Awakened Civilisation) atau tamadun garis keturunan abadi (The Immortal Bloodline Civilization). Pereka diwajibkan menghasilkan satu siri skin lengkap yang merangkumi lima peranan dalam permainan, iaitu Gold, EXP, Mid, Jungle, dan Roam. Mereka juga hanya dibenarkan memilih satu wira untuk setiap peranan daripada senarai rasmi yang ditetapkan, termasuk nama-nama seperti Natan, Terizla, Yve, Balmond, dan Franco.

Pihak penganjur menetapkan syarat ketat berhubung keaslian karya, di mana sebarang penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) janaan adalah dilarang sama sekali dan akan mengakibatkan penyingkiran serta-merta. Peserta perlu menghantar fail beresolusi tinggi, tidak kurang daripada 300dpi dengan kelebaran minimum 8000px, berserta lakaran proses rekaan dan penerangan idea sebagai bukti keaslian. Hak cipta penuh bagi semua karya yang dihantar akan dipindahkan secara kekal kepada pihak penganjur.

Penilaian akan dilakukan oleh barisan panel juri profesional yang terdiri daripada penggiat seni industri permainan video. Panel ini mengandungi wakil dari Moonton sendiri iaitu pereka konsep kanan, Ma Hui, dan ketua artis Mobile Legends: Bang Bang, Wenjun Lin. Turut mengadili pertandingan ini ialah Adrian Smith, artis konsep yang dikenali melalui karya visual francais Warhammer 40,000 dan Magic: The Gathering, serta Ben Zhang yang pernah menyumbang kepada rekaan visual Overwatch, Hearthstone, dan Diablo.

Tarikh tutup penyerahan penyertaan adalah pada 19 Jun 2026, dan senarai pemenang dijadualkan untuk pengumuman rasmi pada bulan Julai tahun yang sama. Peserta dengan rekaan terbaik yang paling menepati hala tuju visual permainan bergenre MOBA tersebut mungkin ditawarkan peluang untuk menyertai pasukan kreatif global Moonton secara rasmi.

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini atau menyertainya melalui pautan ini.

Leave a Reply