Pemain permainan PUBG MOBILE kini boleh memandu dua kenderaan keluaran Ford, iaitu kereta super Ford Mustang GTD dan trak Ford F-150 Raptor R, bermula 15 Mei sehingga 7 Julai 2026. Penawaran masa terhad ini adalah hasil kolaborasi rasmi antara permainan mudah alih tersebut dengan syarikat automotif Amerika Syarikat berkenaan.

Model Ford Mustang GTD yang ditawarkan dalam permainan ini didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Spirit of America dan Verdant Legend. Sementara itu, trak Ford F-150 Raptor R pula ditampilkan dalam versi ‘monster truck’ dengan spesifikasi kenderaan off-road. Trak ini boleh didapati dalam pilihan warna Ruby Red dan Orange Flame.
Selain kenderaan, kolaborasi ini turut memperkenalkan pelbagai barangan penyesuaian khusus buat pemain. Pilihan penyesuaian untuk Mustang GTD termasuk penambahan front splitter dan spoiler, manakala pemain F-150 Raptor R boleh menambah front bumper dan light bar. Pemain juga boleh mendapatkan barangan tambahan seperti Ford Parachute dan Ford Ornament. Individu yang berjaya melengkapkan keseluruhan koleksi bertema Ford ini akan diberikan ganjaran eksklusif yang dikenali sebagai Ford Collection Milestone.
Acara rentas jenama ini boleh diakses secara percuma oleh semua pemain melalui aplikasi PUBG MOBILE yang tersedia untuk dimuat turun di App Store dan Google Play Store. Permainan ini dibangunkan bersama oleh LIGHTSPEED STUDIOS di bawah Tencent Games dan KRAFTON, Inc.


