Cygames telah membuka sesi pra-tempahan untuk Granblue Fantasy: Relink – Endless Ragnarok, sebuah permainan Action RPG yang dijadualkan pelancarannya pada 9 Julai 2026. Permainan ini akan ditawarkan di platform PlayStation 4, PlayStation 5, Nintendo Switch 2 dan PC melalui Steam. Pembelian awal sudah boleh dibuat bermula 14 Mei melalui PlayStation Store dan Nintendo eShop, manakala pengguna Steam buat masa ini hanya boleh meletakkan permainan tersebut dalam senarai hajat.

Mereka juga berkongsi lanjut mengenai dua mekanik utama kepada tatamain iaitu sistem seruan (Summons) dan mod cabaran yang dikenali sebagai Conflux. Sistem seruan membolehkan pemain memanggil bantuan ke medan pertempuran, namun ia hanya terhad kepada misi yang mempunyai tahap kesukaran ‘Chaos’ dan ke atas. Seruan ini mempunyai pelbagai fungsi; ada yang memberikan bonus pasif, ada yang boleh dikawal secara ringkas, dan seruan berkuasa seperti Lucilius dan Rolan boleh dikawal sepenuhnya seumpama watak pemain biasa. Selain itu, watak Lyria juga mendapat keupayaan ‘primal burst’ untuk melancarkan serangan susulan sekiranya kesemua empat ahli pasukan menggunakan ‘Skybound Arts’ berturut-turut pada fasa ‘link time’.

Sistem kedua, mod Conflux, merupakan mod pemain tunggal di mana susunan kawasan permainan diatur secara rawak setiap kali ia dimainkan. Pemain akan mengakses mod ini melalui portal di Seedhollow dan Tredame Sanctum yang akan mula dibuka bermula dari babak keenam permainan. Di dalam Conflux, pemain perlu memilih haluan dan mengumpul peningkatan kuasa sementara (power-ups) untuk menewaskan ketua musuh di kawasan terakhir. Sebagai ganjaran, pemain akan menerima bahan-bahan khusus untuk menaik taraf senjata dan ‘sigils’.

Dari segi penambahan watak, Endless Ragnarok memperluaskan barisan pemain dengan pengenalan Fraux dan Fediel. Ini menjadikan jumlah keseluruhan watak baharu yang diperkenalkan dalam permainan ini kepada enam watak. Secara keseluruhan, pemain mempunyai 29 pilihan watak berbeza, termasuk watak-watak asal daripada Relink, untuk menentang ketua musuh baharu bernama The World.

Cygames juga mengesahkan bahawa pemain yang membeli Granblue Fantasy: Relink – Endless Ragnarok atau pakej Endless Ragnarok Upgrade Kit di mana-mana platform akan menerima ganjaran rentas permainan. Ganjaran bonus ini boleh ditebus dan digunakan dalam permainan Granblue Fantasy versi mudah alih, pelayar web, atau Steam, dengan butiran lanjut mengenai cara penebusan akan diumumkan pada masa hadapan.

Leave a Reply