Acer Malaysia telah mengumumkan kemaskini untuk penawaran Predator Helios Neo 16 mereka, dan saya berkesempatan untuk menggunakan salah satu SKU yang ditawarkan bagi penawaran terbaru ini. Model yang saya guna dikuasakan oleh pemproses Intel Core i7-14650HX, hadir sebagai sebuah laptop yang agak mampu milik tetapi dengan prestasi yang memuaskan, terutama bagi yang ingin mencari laptop untuk bermain dengan resolusi 1080p.


Laptop ini menggunakan paparan IPS bersaiz 16.0 inci beresolusi WUXGA (1920 x 1200). Paparan dengan nisbah 16:10 ini menyokong kadar segar semula yang tinggi iaitu 180Hz bersama masa tindak balas 3ms. Walaupun ia bukanlah sebuah skrin setaraf OLED, ketepatan warna 100% sRGB dan teknologi Acer ComfyView menjadikan skrin ini sangat cantik dan selesa dipandang dalam apa jua keadaan pencahayaan. Sudut pandangannya juga cukup luas sehingga 170 darjah.
Dari sudut audio, kualitinya dipacu oleh teknologi DTS X:Ultra Audio dan turut mendapat pengiktirafan Hi-Res Audio. Bunyi pembesar suaranya sangat jelas, padat, dan sedap didengar. Walau bagaimanapun, saya mendapati bunyi tersebut akan menjadi sedikit nyaring dan kasar apabila saya menetapkan tahap kelantangan ke paras maksimum.


Di sebalik rekaan casis yang mempunyai penutup logam seberat 2.5 kilogram ini, dengan rekaan yang telah menjadi DNA untuk laptop-laptop Predator, ia kelihatan kemas dan masih menawarkan beberapa elemen yang menjadikannya sebagai satu laptop permainan video.
Laptop ini dilengkapi dengan memori 16GB DDR5 SDRAM. Ruang ini boleh dinaik taraf sehingga 32GB jika anda perlukan prestasi tambahan pada masa akan datang. Untuk ruang simpanan, ia didatangkan dengan storan pantas 512GB PCIe Gen4 NVMe. Ia turut menyediakan slot pemacu SSD kedua untuk memudahkan urusan penaiktarafan kelak.


Bagi menggalas tugas berat, ia bergantung kepada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5050 generasi baharu yang dilengkapi dengan 8GB memori khusus GDDR7. Dengan 2560 CUDA Cores dan keupayaan kuasa kecerdasan buatan 440 AI TOPs, kelajuan kad grafik ini sangat memberangsangkan. Walaupun kapasiti VRAM 8GB ini mungkin menimbulkan sedikit kerisauan untuk ketahanan permainan pada masa hadapan, saya mendapati ia sudah lebih daripada mencukupi buat masa ini, terutamanya untuk menikmati pengalaman bermain permainan video secara 1080p.
Untuk melihat sejauh mana kehebatannya, saya telah menguji laptop ini dengan dua judul permainan berat. Ujian pertama melibatkan permainan terbaru oleh Capcom iaitu Resident Evil Requiem pada resolusi 1920×1080 dengan tetapan Ray Tracing dan grafik diletakkan pada tahap High. Tanpa sokongan DLSS, ia merekodkan sekitar 60 hingga 70 FPS, tetapi prestasinya sedikit terjejas apabila jatuh ke bawah paras 30 FPS di sesetengah kawasan yang terlalu padat. Namun, sebaik sahaja saya mengaktifkan tetapan DLSS pada mod Quality, walaupun tanpa Frame Gen, lonjakan prestasinya sangat baik. Ia berjaya melepasi 100 FPS dan tidak pernah jatuh di bawah 80 FPS.


Bagi ujian kedua, saya memainkan Marathon pada tetapan tertinggi berserta sokongan DLAA. Tanpa DLSS, saya mendapat purata kelajuan sekitar 60 FPS. Untuk pengalaman yang lebih stabil, saya sangat menyarankan anda untuk menggunakan DLSS dan mengehadkan kelancaran pada kadar 60 FPS, ataupun sekadar mengaktifkan fungsi VSYNC. Jika anda ingin mencuba paparan resolusi 1440p, boleh dan permainan masih berjalan dengan memuaskan tetapi agak sukar untuk anda mengekalkan 60 FPS secara konsisten tanpa mengorbankan kualiti visual secara drastik. Namun untuk saiz 1080p, ia adalah laptop yang lebih daripada mampu untuk memberikan kelancaran yang saya inginkan.
Melengkapkan lagi penawaran Predator Helios Neo 16 Ai ini dikemudi oleh Killer Wi-Fi 6E dan sambungan fizikal 2.5G Killer Ethernet E3100G. Teknologi rangkaian ini cemerlang dalam memastikan tahap latency kekal minimum sepanjang sesi permainan dalam talian. Pilihan port yang dibekalkan juga memuaskan. Laptop ini mempunyai dua port USB Type-C di bahagian belakang laptop yang menyokong Thunderbolt 4 serta pengecasan peranti sehingga 100W, tiga port USB Type-A, satu port HDMI 2.1, serta pembaca kad mikroSD.


Menyentuh tentang ketahanan kuasa, bateri Li-ion 4-sel berkapasiti 92 Wh di dalamnya mampu bertahan sehingga lima jam untuk penggunaan biasa dan produktiviti harian. Ia merupakan satu durasi yang cukup standard dan boleh diterima untuk sebuah komputer riba yang sarat dengan komponen berkuasa tinggi.
Secara keseluruhannya, Predator Helios Neo 16 Ai adalah sebuah laptop permainan video yang direka dengan sangat baik. Ia membawakan rekaan yang kemas, nipis, dan selesa untuk dibawa ke mana-mana. Walaupun spesifikasi grafiknya ada sedikit keterbatasan untuk penanda aras resolusi tinggi pada masa akan datang, prestasinya untuk resolusi 1080p pada hari ini adalah sangat memuaskan terutama dengan sokongan DLSS. Laptop in ditawarkan dengan harga RM7,999. Ia juga ditawarkan dengan pilihan Intel Core i5 atau kad grafik NVIDIA GeForce RTX5060 dan NVIDIA GeForce RTX5070.
Gambar: Jin Soh


