Alibaba Cloud mengumumkan Cabaran AI KaryaWAN, sebuah pertandingan penjanaan video di Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM24 ribu berserta trofi. Pertandingan ini mewajibkan peserta menggunakan model penjanaan video Wan2.7 milik syarikat tersebut untuk membina aplikasi dunia nyata dan penceritaan kreatif.

Pembangun, pembuat filem, dan peminat AI mempunyai masa yang terhad untuk menyertai pertandingan ini kerana tarikh tutup pendaftaran adalah pada 7 Mei 2026. Tarikh akhir penyerahan karya pula ditetapkan pada 15 Mei 2026, sebelum proses penilaian oleh barisan juri bermula pada 22 Mei 2026. Pemenang rasmi akan diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan pada penghujung Jun 2026.

Peserta perlu memilih salah satu daripada dua tema yang disediakan untuk penyerahan karya mereka. Tema pertama, “KaryaWAN Visions: Beyond the Frame,” memfokuskan kepada penciptaan visual yang surealis dan sinematik. Tema kedua, “KaryaWAN Impact: AI in Action,” memerlukan pengkarya menunjukkan bagaimana teknologi AI tersebut diguna pakai untuk menyelesaikan masalah sebenar dan melancarkan proses kerja harian.

Inisiatif ini mendapat sokongan rasmi daripada Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi memacu penggunaan teknologi tersebut merentas pelbagai industri tempatan. Ketua NAIO, Sam Majid, dan Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia, Choong Hon Keat, menjelaskan bahawa pertandingan ini berfungsi sebagai platform untuk menterjemahkan strategi kecerdasan buatan negara kepada tindakan yang lebih praktikal, membolehkan bakat tempatan membina kemahiran yang relevan dengan ekonomi digital masa hadapan.

Selain penyertaan agensi kerajaan, program ini disokong oleh rakan komuniti dan industri yang menyumbang kepada pembangunan teknikal serta kreatif, termasuk Persatuan Kreatif AI Malaysia (PeKA), Prompters Malaya, Loomi Entertainment Group, Morphyx.io, TabSpace, dan chat.officio.work.

Pendaftaran dan garis panduan penuh kini boleh diakses melalui laman web kempen rasmi Alibaba Cloud.

Leave a Reply