Uniqlo akan melancarkan koleksi baju-T (UT) kolaborasi pertama mereka bersama siri patung mainan Jepun, Monchhichi, untuk pasaran Malaysia pada 1 Jun 2026.

Koleksi pakaian ini memfokuskan kepada visual pelbagai watak Monchhichi dan ditawarkan khusus dalam kategori wanita dan kanak-kanak perempuan. Terdapat empat rekaan untuk baju-T wanita yang dijual pada harga RM59.90 dengan pilihan saiz dari XS hingga XXL. Bagi kategori kanak-kanak, empat rekaan berbeza turut disediakan pada harga RM39.90 untuk pilihan saiz di antara 110cm hingga 160cm. Saiz XS dan XXL bagi pakaian wanita hanya boleh didapati secara eksklusif menerusi kedai dalam talian mereka.

Kesemua koleksi ini akan dijual di semua cawangan fizikal Uniqlo di seluruh Malaysia serta di laman web rasmi mereka. Pembeli yang mendapatkan sekurang-kurangnya satu barangan daripada koleksi UT Monchhichi ini akan menerima pelekat eksklusif yang memaparkan watak tersebut menggayakan pakaian UT. Ketersediaan pelekat ini adalah terhad dan diedarkan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat untuk pembelian di kedai fizikal. Bagi pembelian yang dibuat melalui platform dalam talian Uniqlo.com, pemberian pelekat ini akan ditentukan melalui sistem loteri.

Bagi menyokong pelancaran ini, Uniqlo juga telah melancarkan sebuah laman web khas bertajuk “7 Days 7 Looks”. Laman web promosi ini menampilkan watak Monchhichi bersama kumpulan pelatih idola Jepun dari Asobisystem, iaitu KAWAII LAB. MATES. Ketujuh-tujuh ahli kumpulan tersebut akan memperagakan gaya harian berbeza yang menggabungkan koleksi pakaian UT Monchhichi ini.

Leave a Reply