Samsung telah melancarkan pilihan terbaru untuk model telefon kelas pertengahan mereka iaitu Samsung Galaxy A57 pada bulan awal April lepas, bersama dengan Galaxy A37. Seperti penawaran sebelum ini, Samsung menyasarkan untuk memberi pengalaman kelas pertengahan dengan pelbagai fungsi-fungsi premium, bagi penawaran kali ini mereka menjadikan fotografi di dalam gelap ataupun pada waktu malam sebagai fokus. Selepas menggunakan telefon ini hampir sebulan, berikut adalah ulasan kami untuknya.

Sebaik sahaja saya memegang peranti ini, perbezaan fizikalnya amat ketara. Dengan ketebalan hanya 6.9mm dan berat 179g, ia terasa jauh lebih nipis dan ringan berbanding generasi sebelumnya. Kemasan kerangka aluminium memberikannya struktur yang kukuh, manakala penarafan rintangan air dan habuk IP68 sudah menjadi kebiasaan dan sesuatu yang sudah dijangkakan bagi telefon-telefon terkini.

Walau bagaimanapun, panel belakang kaca berkilat peranti ini adalah magnet cap jari yang agak ketara, memaksa saya untuk kerap mengelapnya. Tambahan pula, walaupun kualiti binaan secara keseluruhannya terasa premium, saya kurang menggemari kemasan gelang pada modul kamera belakang yang kelihatan agak berlainan dengan badang belakang, akan tetapi ia mungkin gaya yang disukai oleh anda.

Beralih kepada bahagian hadapan, peranti ini diserikan dengan panel rata Super AMOLED+ bersaiz 6.7 inci beresolusi FHD+ (1080 x 2340). Dilindungi oleh Gorilla Glass Victus+, kualiti visual yang dipaparkan adalah antara yang terbaik dalam kelasnya. Paparannya sangat terang, kaya dengan warna, dan cukup jelas untuk penggunaan di bawah cahaya matahari terik, didorong oleh kecerahan puncak sehingga 1,900 nits (dan 1,200 nits dalam Mod Kecerahan Tinggi). Penggunaan teknologi “Super AMOLED+” bermakna imej kelihatan jauh lebih tajam walaupun ia tidak menggunakan resolusi 1.5K atau 4K.

Dari segi rekaan, bezel di sekeliling skrin kini lebih nipis, walaupun bahagian bawahnya (dagu) masih kelihatan sedikit tidak sekata. Namun, satu kelemahan teknikal yang agak mengecewakan saya ialah ketiadaan teknologi LTPO. Kadar segar semulanya tidak boleh turun sehingga 1Hz untuk menjimatkan bateri, sebaliknya ia terhenti pada 60Hz. Sewaktu penggunaan, saya ada menyedari sedikit stuttering yang minimum apabila skrin bertukar pantas daripada halaman statik ke kandungan yang bergerak.

Di dalam, peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan 4nm baharu Samsung, Exynos 1680, yang dipadankan bersama pilihan RAM sehingga 12GB dan storan 512GB. Sepanjang ulasan saya, peranti ini mengendalikan tugas harian seperti menatal media sosial, melayari web, dan multi-tugas dengan sangat lancar dan pantas. Kelancarannya hampir menyamai peranti bertaraf flagship seperti Samsung Galaxy S26 Ultra.

Untuk prestasi gaming, ia mampu menjalankan kebanyakan permainan dengan baik. Namun, apabila saya mencuba judul-judul grafik tinggi seperti Honkai Star Rail pada tetapan tertinggi, peranti ini mula bergelut dan penurunan kadar kelancaran, menggunakan tetapan tertinggi memberikan kelancaran sekitar 40FPS, dan untuk mendapat 60FPS perlu bermain dengan tetapan Medium atau lebih rendah. Dari segi pengurusan haba, Samsung telah memasukkan vapor chamber 13% lebih besar berbanding model A56 sebelum ini. Langkah ini berjaya menstabilkan prestasi tanpa masalah thermal throttling yang teruk. Cuma, harus diingat bahawa profil badan yang sangat nipis menyebabkan peranti ini masih akan terasa panas di tangan ketika sesi permainan yang panjang.

Sistem kamera peranti ini menawarkan pengalaman yang memuaskan untuk kebanyakan pengguna. Lensa utama 50MP yang dilengkapi OIS berjaya merakam foto yang sangat cemerlang pada waktu siang. Seperti biasa, pemprosesan imej Samsung memberikan warna langit yang lebih garang dan terang. Untuk keadaan kurang cahaya, Mod Malam berfungsi dengan baik, membantu untuk saya mengambil gambar pada waktu malam ataupun di kawasan yang kurang cahaya seperti arena esukan.

Memandangkan profilnya yang sangat nipis, kebolehan Samsung mengekalkan kapasiti bateri 5000mAh adalah sesuatu yang patut dipuji. Walaupun mereka menjanjikan ketahanan sehingga dua hari, pengalaman saya sebagai pengguna sederhana-berat menunjukkan ia lebih selesa bertahan untuk satu hari penuh. Ketiadaan paparan LTPO sedikit sebanyak menyebabkan kehabisan bateri yang lebih cepat semasa skrin dihidupkan, jika dibandingkan dengan peranti kelas atas yang lain.

Pengecasan pantas berwayar 45W disokong dengan baik. Ujian saya merekodkan pengisian sehingga 50% dalam masa sekitar 22 hingga 25 minit, dan pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang 75 hingga 79 minit. Perlu diingat, peranti ini tidak menyertakan sebarang sokongan pengecasan nirwayar.

Satu aspek di mana peranti ini benar-benar bersinar adalah sokongan perisian. Ia didatangkan dengan Android 16 dan One UI 8.5, berserta janji kemas kini OS dan keselamatan selama 6 tahun, satu jaminan jangka hayat yang sangat baik dan memberikan ketenangan untuk pengguna.

Ia tidak menampilkan fungsi lengkap “Galaxy AI”, sebaliknya Samsung memanggilnya “Awesome Intelligence”. Saya sempat menguji beberapa fungsi berguna seperti Object Eraser, Best Face, Read Aloud, AI Select, dan Voice Transcription (terhad kepada rakaman suara dan panggilan). Ciri-ciri ini sangat praktikal untuk tugasan harian.

Sebagai pelengkap kepada pengalaman multimedia, sistem pembesar suara stereo berfungsi dengan baik. Ia memaparkan audio yang jelas, amat sesuai untuk menonton YouTube atau mendengar siaran audio siar, biarpun frekuensi bass agak kurang memberi kepuasan kepada saya.

Secara keseluruhannya, peranti ini menawarkan pakej rekaan premium yang nipis, skrin Super AMOLED+ yang sangat cantik, dan pengalaman harian yang lancar berserta jaminan kemas kini yang panjang. Ia adalah pilihan yang tepat jika anda mencari telefon harian yang versatil. Namun, ketiadaan paparan LTPO, kualiti kamera sekunder yang sederhana tanpa telefoto, dan prestasi gaming yang sedikit terhad untuk permainan berat adalah kekurangan yang perlu dilakukan untuk menawarkan telefon ini dengan harga yang lebih mampu milik iaitu bermula RM2,399.

Gambar: Jin Soh

Leave a Reply