Kejohanan Esports World Cup (EWC) kembali bagi edisi 2026 dengan meneruskan inisiatif Program Rakan Kelab yang melibatkan 40 organisasi dari seluruh dunia. Program ini menawarkan pembiayaan asas yang membolehkan setiap kelab menjana sehingga $1 juta tertakluk kepada kempen organisasi dan penceritaan mereka bagi menarik penglibatan 300 juta peminat esukan global.

Dalam satu sesi sidang media, wakil pengurusan kelab-kelab utama seperti T1, Gen.G, dan All Gamers (AG) berkongsi fokus organisasi masing-masing menjelang kejohanan ini. Ketua Pegawai Operasi T1, Josh Ahn menyatakan bahawa strategi pasukan pada tahun ini banyak diinspirasikan oleh keupayaan Team Liquid dan Team Falcons yang berjaya merangkul dua kedudukan teratas pada penganjuran lalu. “Bermula tahun 2026, T1 akan memfokuskan usaha untuk mempamerkan prestasi yang lebih tinggi dalam kejohanan dan menumpukan perhatian kepada judul permainan yang mampu kami kuasai,” kata beliau. Bercakap mengenai perkembangan pasukan, Ahn meletakkan sasaran agar T1 mencapai penilaian syarikat bernilai $1 bilion, iaitu lima kali ganda lebih tinggi berbanding nilai semasa mereka. Mengenai tanggungjawab kelab terhadap EWC, beliau menekankan peranan ikon pasukan, Faker. “Tanggungjawab kami adalah membawa tontonan kepada EWC dan jika boleh, menarik penonton di luar komuniti esukan untuk turut serta kerana aura Faker melangkaui sekadar sukan ini,” tambah beliau. Ahn juga merancang untuk meningkatkan pengaruh T1 di Vietnam menerusi pengedaran barangan cenderamata khusus untuk peminat di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Gen.G, Arnold Hur pula membincangkan fasa peralihan format perniagaan dengan meramalkan dekad baharu esukan bakal diterajui oleh jumlah kelab yang sedikit tetapi beroperasi dengan perniagaan yang kukuh. “Era francais sudah mati. Kini merupakan era untuk model perkongsian,” tegas beliau. Apabila ditanya mengenai cabaran peminat yang lebih menyokong pemain berbanding kelab, Hur membandingkannya dengan landskap sukan tradisional. “Saya melihat LeBron James membawa pasukan Lakers sekarang, dan terdapat lebih ramai peminat LeBron berbanding bekas-bekas pasukannya sebelum ini,” jelasnya. Sebagai penyelesaian, Gen.G banyak melabur dalam penghasilan kandungan media pendek yang mempamerkan interaksi antara pemain dari judul berbeza, seperti perjumpaan antara pemain League of Legends dan Counter-Strike. Dari sudut saingan, Gen.G kini mempunyai 13 pasukan dan menjadikan komitmen jangka panjang penerbit permainan sebagai kriteria utama sebelum menembusi sesebuah tajuk esukan baharu.

Bagi kelab All Gamers (AG), Ketua Pegawai Operasi Eddie Chan meletakkan sasaran agresif untuk bertanding dalam hampir 80 peratus daripada keseluruhan permainan di EWC, dengan tumpuan pada Honor of Kings dan Crossfire. Walaupun telah beroperasi selama 27 tahun dengan pangkalan peminat yang besar di China, AG baru sahaja menembusi pasaran global secara aktif tiga tahun lalu. “Pemain mungkin melihat pasaran China sebagai pasaran yang sangat besar dan mempunyai banyak potensi. Jika mereka bekerjasama dengan kami, kami boleh membantu mereka membuka pasaran di China,” kata beliau. AG juga mengesahkan lawatan ke Vietnam pada awal Mei untuk berhubung dengan komuniti pencarian bakat terutamanya bagi saingan PUBG. Selain itu, AG bakal memperkenalkan cenderamata edisi terhad berupa panda yang memakai jersi pasukan bagi kempen promosi antarabangsa mereka.

Mewakili pihak penganjur, Pengarah Kelab Yayasan Esports (EF), Hans Jagnow, menjelaskan persaingan sengit untuk menyertai program ini yang menerima antara 175 hingga 200 permohonan pada setiap tahun. Beliau turut menegaskan pendirian penganjur dalam menjaga integriti kejohanan. “Peraturan kami tidak membenarkan kelab membuat pinjaman pemain sementara daripada kelab lain semata-mata untuk mendapatkan slot dalam judul EWC. Ia perlu menjadi satu penyertaan penuh di dalam ekosistem permainan tersebut,” kata beliau. Jagnow juga menyeru komuniti permainan perlawanan (FGC) untuk mengubah corak pemikiran daripada sekadar menjadi pemain tajaan bebas kepada sebahagian daripada unit kelab. Beliau turut mengesahkan perluasan Program Super Fan serta penambahan slot pasukan untuk pasaran yang sedang pesat membangun seperti Amerika Latin dan India, di samping penyertaan sulung kelab dari Turki.

EWC 2026 telah menetapkan 30 April ini sebagai tarikh akhir proses kunci roster. Semua kelab yang bersaing untuk merebut sebahagian daripada dana kejuaraan kelab bernilai $30 juta diwajibkan memuktamadkan senarai pemain mereka menjelang tarikh tersebut. Proses ini akan disusuli dengan sebuah siaran langsung yang menampilkan ketua pengurusan kelab dan pemain untuk membincangkan barisan akhir pasukan secara rasmi.
Gambar: EWC


