Kejohanan Gran Turismo World Series akan melangsungkan Pusingan 3 di Singapura pada 3 Oktober 2026, menandakan kali pertama acara antarabangsa ini diadakan di Asia Tenggara. Bertempat di Sands Theatre, Marina Bay Sands, acara ini turut memberi ruang kepada pemain sim racing dari rantau ini, termasuk Malaysia, untuk berentap secara langsung.

Bagi merebut peluang tersebut, satu saingan ‘Time Trial’ serantau akan diadakan di dalam permainan video Gran Turismo 7 pada bulan Ogos ini. Saingan kelayakan ini terbuka kepada peserta dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, dan Indonesia. Pelumba dengan catatan masa terpantas dari setiap negara akan dijemput untuk menyertai wakil tuan rumah dalam sebuah perlumbaan sokongan khas yang dikenali sebagai Singapore Regional Gran Turismo Cup.

Acara utama di Singapura kelak adalah pusingan penentuan mata terakhir bagi pelumba elit dunia sebelum mereka mara ke pusingan akhir (World Finals) yang dijadualkan berlangsung di Tokyo pada awal Disember. Pengunjung yang membeli tiket yang kini telah mula dijual akan dapat menyaksikan ketiga-tiga siri perlumbaan utama pada hari tersebut iaitu Manufacturers Cup, Nations Cup, serta perlumbaan serantau tersebut.

Dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB), kejohanan Gran Turismo World Series ini diserapkan sebagai salah satu acara rasmi di bawah kalendar Grand Prix Season Singapore. Musim tersebut dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 11 Oktober bagi merancakkan lagi suasana menjelang perlumbaan Formula 1 tahunan di negara itu (9 hingga 11 Oktober).

Menurut penerbit siri Gran Turismo, Kazunori Yamauchi, pelaksanaan saingan Time Trial di peringkat rantau Asia ini bertujuan untuk mengesan bakat pemanduan baharu, di samping memberikan mereka pendedahan berlumba di hadapan penonton secara langsung sebelum melangkah lebih jauh ke peringkat global.

Leave a Reply