Bayangkan jika anda memiliki kuasa untuk menjadi halimunan, dan anda menggunakan kuasa tersebut untuk mengikut sepasang suami isteri selama tiga bulan dan melihat kehidupan harian mereka, secara ringkasnya itulah bagaimana filem Human Resource disampaikan. Oleh kerana anda mengikut kehidupan harian, filem ini juga tidak mengikuti struktur kebiasaan bagi penceritaan untuk sesuatu filem. Kebiasaan kita ada pengenalan, perkembangan, klimaks, dan penyelesaian tetapi bagi filem ini saya tidak merasakan ia ada sebarang klimaks ataupun penyelesaian termasuk juga di pengakhiran filem. Jika anda merasakan boleh menerima filem sebegini, anda akan mempunyai masa yang baik, jika tidak filem ini mungkin sukar untuk dihadam bukan kerana ia rumit, tetapi kerana ia tidak mempunyai sebarang struktur di dalam penceritaan, ia sekadar berlaku seperti satu kehidupan harian.

Terdapat dua tema utama bagi penceritaan yang kesemuanya memberi fokus kepada Fren lakonan Prapamonton Eiamchan. Satu tema adalah dunia pekerjaan korporat, Fren bekerja sebagai HR di sebuah syarikat. Satu perkara yang berbeza apabila bercakap mengenai penceritaan mengenai pekerjaan, ia bukanlah kebiasaan kesukaran mencari pekerjaan ataupun jawatan, sebaliknya masalah yang dihadapi oleh Fren sebagai HR untuk mencari pekerja di syarikat yang dia sendiri tahu bukan satu syarikat yang baik, dengan keadaan yang toksik dan meminta pekerja untuk datang bekerja enam hari seminggu dengan bayaran sekadar RM2,200 sebulan sahaja.
Tema seterusnya menyentuh aspek keluarga, terutama melalui Fren dan suaminya Thame lakonan Paopetch Charoensook. Tambahan pada tekanan waktu kerja, Fren juga baru mengetahui yang dia mengandung. Namun, dia memilih untuk tidak berkongsi perkara tersebut kepada Thame, kerana dia sendiri tidak pasti jika mempunyai anak merupakan satu langkah yang tepat, terutama dengan keadaan dia pada waktu ini.

Filem ini tidak cuba untuk menjadi satu filem yang penuh drama, tetapi melihat kepada Fren dan Thame, ia seperti melihat satu keluarga biasa, pergaduhan ringkas seperti jika ada motosikal yang melalui jalan yang salah, adakah patut mengalah untuk memberi laluan atau bertegas kerana anda berada di jalan yang betul. Ia merupakan satu permasalahan yang ringkas tetapi filem ini berjaya menyampainya dengan beberapa lapisan yang menarik memberi dinamik tambahan kepada jalan cerita tanpa memerlukan mana-mana bahagian mencapai tahap “klimaks”. Ia mungkin agak janggal untuk ditonton tetapi bagi saya ia terasa segar dan saya dapat menghayati setiap adegan tanpa terasa bebanan emosi, sebaliknya saya diminta untuk lebih merasa empati dengan apa yang dilalui oleh Fren yang melaluinya segala perkara ini, bukan saya sebagai penonton.
Oleh itu, saya sangat memuji pilihan-pilihan pengarah Nawapol Thamrongrattanarit untuk menyampaikan kebanyakan filem ini daripada jauh dengan fokus diberikan kepada Fren. Kebanyakan adegan disampaikan dengan memfokuskan kepada wajah Fren dan biasanya dari tepi, yang bagi saya mungkin cara untuk pengarah memastikan saya faham yang saya sekadar melihat kehidupannya dan bukan Fren cuba menyampaikan sesuatu kepada saya.

Tambahan pada itu, pengarah juga banyak menggunakan cara peralihan adegan dengan mengeluarkan terlebih dahulu bunyi daripada adegan seterusnya, yang lebih dikenali sebagai J-Cuts, bagi saya ia sangat berkesan dan membantu untuk mencipta anticipation. Ada satu adegan, ia diubah dengan mengekalkan bunyi daripada adegan sebelum ini, ke adegan seterusnya yang berkesan untuk menyampaikan keadaan perasaan Fren. Filem ini juga banyak menggunakan dialogn di belakang, seperti perbualan orang lain atau berita di radio yang didengari oleh Fren untuk serba sedikit memperlihatkan ke dalam pemikirannya.
Akhir kata, Human Resource tidak mengikut struktur kebiasaan bagi sebuah filem, ia tidak mengandungi klimaks ataupun penyelesaian, tiada konsep yang baik melawan yang jahat, tetapi lebih kepada menyampaikan keadaan kehidupan sehampir yang mungkin dengan realiti. Ini menjadikan filem ini terasa mendatar, dan jika anda terasa bosan, saya tidak terkejut, tetapi jika anda seperti saya dapat menerima struktur filem ini, saya pasti ia memberi satu pengalaman yang secara ringkasnya “real”. Filem ini juga tidak berakhir seperti kebiasaan filem lain, saya sendiri yang menyukai filem ini, masih mengatakan “itu sahaja” apabila kredit penamat dimainkan. Filem ini sudah semestinya bukan untuk semua, tetapi jika anda salah seorang yang boleh menerima cara filem ini disampaikan, ia boleh menjadi satu filem yang akan dikenang untuk tempoh yang lama.
Human Resource akan ditayangkan di lokasi GSC terpilih bermula 23 April 2026.


