vivo Malaysia secara rasminya telah melancarkan telefon pintar terbaharu mereka, vivo V70 FE, untuk pasaran tempatan bermula 9 April 2026. Memfokuskan kepada segmen pengguna tugas berat dan prestasi jangka masa panjang, peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7360-Turbo. Cip pemprosesan ini dipadankan dengan konfigurasi memori sehingga 24GB, di mana kapasiti ini dicapai dengan sokongan pengembangan RAM secara maya melalui perisian.
Bagi menyokong pengalaman permainan video dan penggunaan media, vivo V70 FE didatangkan dengan skrin paparan AMOLED 1.5K serta dwi pembesar suara stereo simetri. Daripada sudut ketahanan, peranti ini dimuatkan dengan bateri BlueVolt berkapasiti 7000 mAh, yang merupakan saiz bateri terbesar pernah ditawarkan dalam sejarah peranti siri V keluaran syarikat tersebut.


Berdasarkan data pengujian, peranti ini mampu bertahan sehingga 16 jam untuk penggunaan berterusan lapan aplikasi utama, termasuk sesi permainan video mudah alih Mobile Legends: Bang Bang, dan masih mengekalkan baki kapasiti bateri pada tahap 14 peratus. Bateri yang besar ini turut disokong oleh teknologi pengecasan pantas FlashCharge 90W dan fungsi Super Battery Saver yang mampu memberikan masa bersedia sehingga 21.6 jam walaupun peranti hanya mempunyai baki bateri sebanyak 5 peratus.
Walaupun menempatkan kapasiti bateri bersaiz besar, casis vivo V70 FE kekal pada dimensi profil kenipisan 7.59 mm dan seberat 200 gram. Peranti yang beroperasi menggunakan sistem OriginOS 6 ini juga dilengkapi dengan penarafan kerintangan habuk dan air IP68 serta IP69, yang membenarkannya direndam di dalam air tawar sehingga kedalaman 1.5 meter selama tempoh maksimum 120 minit. Melengkapi penawaran spesifikasi perkakasan luaran adalah modul kamera utamanya yang menggunakan sensor 1/1.56 inci beresolusi 200 MP, lengkap dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS) berstatus CIPA 4.0 serta kemampuan zum sehingga 30x.


vivo V70 FE ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Muse Purple, Ocean Blue, dan Urban Silver. Terdapat tiga varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, bermula pada harga RM1,599 untuk konfigurasi memori 8+8GB dan storan 256GB, manakala varian dengan memori 12+12GB dan storan 256GB dijual pada harga RM1,799.
Manakala bagi varian 8+8GB dan storan 512GB pula ditawarkan dengan harga RM1,999, namun ia hanya ditawarkan secara eksklusif melalui platform dalam talian dan syarikat telekomunikasi terpilih. Fasa tempahan awal kini dibuka sehingga 17 April 2026 yang turut didatangkan dengan tawaran hadiah percuma bernilai sehingga RM1,256 berserta rebat bernilai RM100.


