Acara sambutan ulang tahun ke-8 PUBG MOBILE yang berlangsung di pusat beli-belah Sunway Pyramid dari 3 hingga 5 April lalu telah merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung. Susulan kehadiran skala besar ini, pihak pengurusan mengumumkan perancangan untuk memperluaskan inisiatif komuniti mereka ke Malaysia Timur, dengan tumpuan khusus di Sarawak pada masa akan datang melalui penganjuran kejohanan peringkat tempatan dan perjumpaan komuniti.

Acara tiga hari tersebut dianjurkan seiring dengan pelancaran versi 4.3 permainan berkenaan yang bertajuk “Evolving Universe”. Tumpuan utama acara melibatkan perlawanan pertunjukan (Showmatch) yang membariskan pemain-pemain dan pempengaruh esukan tempatan iaitu Soloz, Feekz, dan pasukan Yoodo Gank.

Selain aktiviti perlawanan, acara ini turut menjadi pentas pelancaran lagu tema rasmi ulang tahun kelapan berjudul “Infiniti – Kita Up (With PUBG MOBILE)” yang dipersembahkan secara langsung buat pertama kali oleh Kidd Santhe dan Yonnyboii. Artis tempatan lain seperti Nazu dan MASDO turut membuat persembahan dengan membawakan lagu-lagu kolaborasi mereka bersama PUBG MOBILE yang dilancarkan sebelum ini. Kumpulan tarian Zeppo Youngsterz pula menyampaikan persembahan berunsur kebudayaan yang mengiringi lagu ulang tahun antarabangsa permainan tersebut, “Carry You”, nyanyian BamBam dan MINNIE.

Bagi melengkapkan elemen kebudayaan permainan video itu, seramai 19 cosplayer telah memperagakan kostum X-Suits dan Gilt Sets di atas pentas. Kemuncak acara disusuli dengan persembahan kek hari jadi kejutan di pentas utama bagi menandakan ulang tahun kelapan permainan tersebut.

Pengurus Produk PUBG MOBILE Malaysia, Ashley Phuah , mengesahkan bahawa penganjuran acara berskala besar ini dijayakan melalui sokongan rakan industri yang terdiri daripada Sony Music Malaysia, Sunway Pyramid, Razer Inc, ARC Helmet, Clazroom Academy, dan Krispy Kreme.

Leave a Reply