Syarikat induk TikTok, ByteDance Ltd., secara rasmi melepaskan asetnya dalam industri permainan video dengan persetujuan untuk menjual studio Moonton kepada Savvy Games Group pada anggaran nilai $6 bilion, ini adalah menurut laporan terbaru oleh Bloomberg.
Langkah ini menandakan peralihan strategik ByteDance yang kini memfokuskan pelaburan mereka ke arah pembangunan model asas kecerdasan buatan (generative AI) dan bot sembang. Keputusan ini diambil selepas syarikat tersebut bertindak membuang pekerja dan mengecilkan operasi jenama permainan utamanya, Nuverse, berikutan kegagalan mereka untuk merebut penguasaan pasaran daripada gergasi teknologi China, Tencent Holdings Ltd.
Bagi Savvy Games Group, sebuah anak syarikat di bawah Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi yang bernilai $1 trilion, pengambilalihan ini mengukuhkan lagi kempen agresif kerajaan itu untuk menjadi peneraju global dalam industri permainan video dan esukan. Moonton mempunyai ikutan dan mendominasi pasaran Asia Tenggara, terutamanya melalui judul Mobile Legends: Bang Bang yang merekodkan lebih daripada 1.5 bilion muat turun.
Pembelian studio ini merupakan sebahagian daripada siri pelaburan mega PIF. Pada bulan September lalu, pengeluar permainan Electronic Arts Inc. bersetuju untuk dijual kepada kumpulan pelabur yang termasuk PIF pada nilai $55 bilion. Pada tahun sebelumnya, sebuah lagi anak syarikat Savvy telah membelanjakan $3.5 bilion untuk membeli perniagaan permainan Pokémon Go milik Niantic Inc. Mereka juga memegang kepentingan saham dalam Nintendo Co, dan Capcom.
Ketua Pegawai Eksekutif Moonton, Zhang Yunfan, melalui sebuah memo dalaman yang diteliti oleh Bloomberg, memaklumkan kepada kakitangannya bahawa perjanjian dengan firma Arab Saudi itu telah ditandatangani dan dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Walaupun memo tersebut tidak mendedahkan terma kewangan secara terperinci, satu sumber tanpa nama menyatakan nilai transaksi tersebut mencecah $6 bilion. Angka ini merupakan lonjakan ketara berbanding $4 bilion yang dibayar oleh ByteDance ketika memperoleh studio berkenaan pada tahun 2021. Menurut Zhang, beliau dan barisan pengurusan sedia ada akan terus menerajui syarikat, manakala kakitangan akan ditawarkan pelbagai program insentif di bawah pemilikan baharu.


