POCO secara rasmi telah memperkenalkan siri POCO X8 Pro untuk pasaran Malaysia, yang kini merangkumi model POCO X8 Pro Max, POCO X8 Pro, dan edisi khas POCO X8 Pro – Iron Man Edition. Bagi pengguna yang memfokuskan kepada prestasi permainan, POCO X8 Pro Max dikuasakan oleh cipset siri Dimensity 9000 iaitu Dimensity 9500s yang dibina dengan proses 3nm dan kelajuan jam maksimum sehingga 3.73GHz.
Peranti ini merekodkan skor ujian AnTuTu sebanyak 3,085,998 dan disokong oleh memori LPDDR5X 9600Mbps serta storan UFS 4.1. Sementara itu, POCO X8 Pro menggunakan cip Dimensity 8500-Ultra yang memberikan peningkatan prestasi GPU sebanyak 25 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Bagi mengawal suhu ketika sesi permainan intensif, model Pro Max dilengkapi dengan sistem penyejukan POCO 3D IceLoop bersaiz 5,800mm persegi yang mampu menurunkan suhu litar bersepadu (SoC) sehingga 3 darjah Celsius. Model Pro pula menggunakan sistem penyejukan POCO 3D Dual-layer IceLoop bersaiz 5,300mm persegi.
Kedua-dua peranti ini menyokong ciri ‘ray tracing’ pada tahap perkakasan yang serasi dengan tetapan tertentu untuk permainan mudah alih seperti Diablo Immortal. Selain itu, siri ini menampilkan teknologi WildBoost Optimization yang menguruskan kadar bingkai secara proaktif bagi mengelakkan masalah kejatuhan bingkai.
Pengoptimuman ini merangkumi sokongan kadar bingkai pintar untuk permainan Genshin Impact dan Honkai: Star Rail, resolusi super 1.5K, serta Game HDR yang dikhususkan untuk permainan bergenre RPG. Rekaan peranti turut dilengkapi dengan lampu RGB dinamik pada modul kamera yang akan bertindak balas semasa sesi permainan dijalankan.

Dari segi ketahanan kuasa, POCO X8 Pro Max hadir dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 8,500mAh yang disasarkan untuk bertahan selama dua hari, manakala POCO X8 Pro dimuatkan dengan bateri silikon-karbon berkapasiti 6,500mAh. Kedua-dua model menyokong pengecasan pantas 100W HyperCharge. Paparan peranti menggunakan skrin bersaiz 6.83 inci untuk Pro Max dan 6.59 inci untuk Pro, dengan kedua-duanya menawarkan kecerahan puncak sehingga 3,500 nits pada 25 peratus bahagian skrin.
Turut ditawarkan adalah POCO X8 Pro – Iron Man Edition hasil kerjasama jenama tersebut bersama Marvel. Edisi khas ini menampilkan rekaan perisai berwarna hitam dan emas, lampu kilat yang direka menyerupai ‘Arc Reactor’, serta antaramuka pengguna yang dikhususkan dengan tema Iron Man.
Siri peranti ini sedang ditawarkan pada harga promosi bermula 17 Mac hingga 5 April 2026 melalui platform rasmi mi.com, Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. POCO X8 Pro dijual pada harga promosi bermula RM1,299 untuk varian 8GB+256GB, manakala POCO X8 Pro Max ditawarkan pada harga promosi bermula RM1,699 bagi varian 12GB+256GB. POCO X8 Pro – Iron Man Edition pula berharga RM1,699 (harga promosi) untuk konfigurasi 12GB+512GB.


