iQOO 15R merupakan model terbaru yang dilancarkan oleh iQOO, ia merupakan model yang lebih mampu milik berbanding iQOO 15 yang dilancarkan pada akhir tahun lepas. “Pengurangan” utama yang dilakukan untuk menawarkan telefon dengan lebih murah adalah dengan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 5 berbanding Snapdragon 8 Elite Gen 5, akan tetapi pada pengalaman penggunaan saya sendiri, saya boleh katakan prestasi yang diberikan tidak mengecewakan dan mungkin pengurangan tersebut bukanlah satu kekurangan yang nyata terutama untuk beramin permainan mudah alih.

Sebelum saya berkongsi secara lanjut mengenai prestasi, saya ingin terlebih dahulu bercakap mengenai paparan. Telefon ini hadir dengan skrin AMOLED 6.59-inci, resolusi 1260 x 2750 dengan sokongan kadar segar semula sehingga 144Hz, ia juga mempunyai kadar kecerahan puncak 5000 nits. Dengan kata lain ia mempunyai paparan yang boleh dikatakan setara dengan peranti-peranti mercu. Paparan ini bukan sahaja kelihatan cantik dengan setiap warna dipaparkan dengan baik tetapi ia telefon yang sangat mudah untuk digunakan walaupun di bawah cahaya yang terang ataupun sedang berada di luar di bawah matahari.

Perkara berikut yang saya ingin kongsi-kan adalah bateri dan secara terus saya boleh katakan yang ia berada di kelas yang tersendiri. Dengan bateri besar 7600 mAh, saya boleh gunakana telefon ini untuk dua hari tanpa memerlukan pengecasan, dan ini bukan kerana saya tidak membuka sebarang permainan mudah alih. Saya bermain, menonton kandungan hiburan dengan kadar kegunaan biasa untuk harian dan ia masih boleh bertahan dengan baik. Semasa menguji untuk permainan saya mencuba tiga permainan utama iaitu Honor of Kings, Honkai: Star Rail dan juga permainan yang baru sahaja dilancarkan iaitu Rainbow Six Mobile. Berdasarkan sesi permainan di ketiga-tiga permainan ini saya boleh katakan secara purata, bateri hanya berkurang sebanyak 10% sahaja untuk sesi 2 jam bermain.

Tidak cukup dengan bateri yang tahan lama, ia juga menyokong pengecasan 100W secara berwayar, dan pada percubaan saya, ia mengambil lebih kurang 80 minit untuk pengecasan daripada sifar sehingga 100%, mungkin agak lama untuk kebiasaan telefon sekarang tetapi dengan saiz baterinya yang besar, bagi saya ia bukanlah satu tempoh yang lama.

Kembali kepada prestasi, di atas kertas Snapdragon 8 Elite Gen 5 memperlihatkan prestasi 30% lebih berbanding yang Snapdragon 8 Gen 5 yang digunakan di telefon ini, akan tetapi bagi kegunaan sebenar saya tidaklah merasai kekurangannya yang ketara terutama dengan sokongan fungsi seperti “Performance Boost” dan “Q Chip Zone”, membantu untuk menjadikan telefon seperti dimainkan di telefon mercu.

iQOO 15R diumumkan sebagai telefon pintar rasmi untuk kejohanan terbesar Honor of Kings di Malaysia iaitu MKL Spring 2026, oleh itu sudah semestinya saya mengujinya menggunakan permainan tersebut. Dengan menggunakan tetapan “monster” saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan kelancaran 120FPS secara berterusan. Begitu juga dengan permainan Honkai Star Rail, walaupun tiada sokongan rasmi melebihi 60FPS untuk permainan tersebut, tetapi menggunakan tetapan Super Frame Rate di Q Chip Zone saya boleh dapatkan kadar kelancaran 90FPS, terdapat juga Game Visual Enhancement yang boleh mempertingkatkan lagi warna permainan jika anda inginkan.

Dengan ‘paksaan’ untuk mendapatkan prestasi terbaik ini, sudah semestinya akan ada kerisauan mengenai kepanasan telefon, tetapi semasa saya mengujinya, walaupun untuk tempoh yang lama saya boleh memegangnya tanpa sebarang masalah, ia terasa suam tetapi tidak terlalu panas sehingga tidak dapat memegangnya dengan selesa. Ia lebih panas jika bermain sambil mengecas tetapi dengan sokongan “Bypass Charging”, saya dapat mengurangkan kesannya. Ia tidak akan mengecas bateri tetapi tidak juga terlalu menggunakan bateri kerana kuasa diambil terus daripada plug kuasa, mengurangkan kepanasan dan juga menjaga kesihatan bateri.

Bagi rekaan peranti pula, ia tidaklah mempunyai rekaan yang luar biasa, tetapi telefon ini agar selesa untuk dipegang tidak kira untuk kegunaan satu tangan, dua tangan ataupun semasa bermain permainan mudah alih. Saya juga menyukai kekemasan bahagian belakang telefon ini yang mempunyai rekaan unik, di mana saya memanggilnya sebagai bongkah Minecraft. Ia kelihatan agar unik dan sebab utama saya galakkan untuk menggunakan kerangka yang transparent, yang juga tersedia di dalam kotak bersama dengan plug kuasa lebih memudahkan lagi terutama untuk memastikan anda mendapat kelajuan pengecasan yang terbaik.

Bagi bahagian yang penting untuk bermain permainan mudah alih, dan juga menonton kandungan hiburan saya tidak mempunyai rungutan yang besar untuk telefon ini. Walaupun dengan harga yang mampu milik, ia memberikan prestasi yang kita jangkakan daripada telefon-telefon mercu. Jika ada rungutan, saya boleh menyebut mengenai pengalaman penggunaan biasa, bagi saya telefon ini terdapat terlalu banyak bloatware, yang mudah untuk dibuang tetapi agak menjengkelkan terutama pada awal-awal kegunaan. Selain itu, kamera juga bukanlah yang terbaik pernah saya cuba, namun ia bukan fokus utama ulasan saya.

Oleh itu, dengan harga RM2499 untuk 256GB + 12GB dan RM2,699 untuk 512GB + 12GB saya boleh katakan yang iQOO 15R tidak mengecewakan, walaupun dengan harga berpatutan ia masih memberikan prestasi yang sangat memuaskan untuk sesi bermain permainan mudah alih, selain itu saiz bateri yang besar bukan sahaja baik untuk sesi tersebut, tetapi juga untuk kegunaan harian dengan ia bertahan sehingga 2 hari ditambah lagi dengan pengecasan yang pantas, agar sukar untuk melihat sesiapa akan mempunyai masalah dengan ketersediaan bateri apabila menggunakan telefon ini.

Gambar: Jin Soh

Leave a Reply