Jenama peranti pintar iQOO telah merasmikan pelancaran iQOO 15R untuk pasaran Malaysia pada 2 Mac 2026. Peranti baharu ini memfokuskan kepada segmen permainan mudah alih dan telah diumumkan sebagai telefon permainan rasmi untuk kejohanan esukan Malaysian Honor of Kings League (MKL) 2026. Pada musim ini, kejohanan tersebut telah dikembangkan untuk melibatkan 10 buah pasukan.

Untuk menyokong keperluan sesi permainan kompetitif, iQOO 15R dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 5. Ia turut digabungkan bersama cip tambahan Supercomputing Chip Q2 dan Monster HyperCore Engine. Spesifikasi ini membolehkan peranti menawarkan ciri Resolusi Super 1.5K bertaraf PC berserta keupayaan interpolasi bingkai permainan pada tahap 144 FPS bagi mengekalkan kelancaran grafik.

Bagi menangani isu pemanasan ketika penggunaan beban tinggi, telefon ini menggunakan sistem penyejukan 6.5K IceCore VC yang disertakan dengan kepingan grafit dwi-lapisan. Paparannya pula menggunakan panel AMOLED Esports Display bersaiz 6.59-inci yang menyokong resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz.

Dari segi bekalan kuasa, iQOO 15R memuatkan bateri Anod Silikon berkapasiti 7600mAh. Bateri berkapasiti tinggi ini disokong oleh pengecasan pantas 100W FlashCharge. Untuk pengguna yang bermain sambil mengecas, peranti ini mempunyai ciri Advanced Bypass Charging yang menyalurkan kuasa secara terus kepada sistem tanpa melalui bateri, lantas mengurangkan pengumpulan haba.

Walaupun memfokuskan prestasi permainan, sistem optik peranti ini dilengkapi dengan kamera utama 50 MP yang menggunakan lense Sony LYT-700V dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS) dan Lossless Zoom 2x. Bahagian hadapan pula menempatkan kamera bersesolusi 32 MP. Peranti ini beroperasi menggunakan sistem OriginOS 6. Dari sudut rangkaian, ia disokong oleh Cip Peningkatan Rangkaian khusus dan Seni Bina Antena Keliling (Surround Antenna Architecture) bagi memastikan sambungan kekal stabil dengan kependaman rendah.

iQOO 15R ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Pixel Silver dan Dark Knight. Terdapat dua konfigurasi memori yang ditawarkan: varian 12GB RAM berserta storan 256GB dijual pada harga RM2,499, manakala varian 12GB RAM dengan storan 512GB ditetapkan pada harga RM2,699.

Peranti ini boleh dibeli melalui stor rasmi iQOO di platform TikTok, Shopee, Lazada, dan juga vivo Concept Store. Bersempena pelancarannya, pelanggan yang membuat pembelian dari 2 hingga 8 Mac layak menerima barangan percuma bernilai sehingga RM458, yang merangkumi iQOO Buds, lanjutan jaminan 1+1 tahun, dan jaminan skrin retak selama 180 hari.

Leave a Reply