PlayStation 5 Pro akan menerima kemas kini utama untuk teknologi penskalaan imej PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) secara global dalam beberapa minggu akan datang. Pendekatan baharu ini melibatkan perubahan menyeluruh pada rangkaian neural dan algoritma sistem tersebut berbanding versi asalnya yang kini digunakan pada lebih 50 judul permainan PS5 Pro.

Teknologi PSSR yang dinaik taraf ini merupakan hasil usahasama “Project Amethyst” di antara Sony dan AMD. Ia berteraskan teknologi penskalaan FSR 4 milik AMD yang telah melalui proses penambahbaikan tambahan selama enam bulan khusus untuk disesuaikan dengan perkakasan PS5 Pro.

Judul Resident Evil Requiem yang baru dilancarkan merupakan permainan pertama yang mengintegrasikan PSSR versi lanjutan ini. Menurut Pengurus Kanan Jabatan Teknologi Asas R&D Capcom, Masaru Ijuin, algoritma baharu ini mampu memproses butiran grafik yang lazimnya sukar untuk diskalakan. Ini membolehkan pembangun memaparkan setiap helai rambut dan janggut watak sebagai poligon individu yang bertindak balas secara dinamik terhadap pergerakan, tiupan angin, dan interaksi cahaya tanpa mengorbankan kestabilan kadar bingkai.

Sokongan untuk PSSR baharu ini akan diperluaskan kepada lebih banyak judul permainan sedia ada menjelang bulan Mac ini bersama dengan pelepasan kemas kini perisian sistem PS5 Pro. Melalui kemas kini tersebut, pengguna hanya perlu mengaktifkan tetapan “Enhance PSSR Image Quality” untuk menikmati kualiti grafik dan imej yang lebih tajam bagi mana-mana permainan PS5 Pro yang sudah mempunyai sokongan PSSR sedia ada.

Leave a Reply