Pada 27 Februari 2026, Infinix telah melancarkan peranti kelas pertengahan terbaharunya untuk pasaran Malaysia, iaitu Infinix NOTE 60 Pro. Berbeza dengan siri NOTE yang terdahulu, peranti ini memfokuskan kepada peningkatan spesifikasi perkakasan untuk bermain permainan mudah alih yang lebih berat dan ketahanan kuasa yang tinggi.

Beralih kepada spesifikasi utama, NOTE 60 Pro merupakan telefon pintar pertama Infinix yang dijana oleh cip pemprosesan Snapdragon, iaitu Snapdragon 7s Gen 4. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, NOTE 50 Pro, cip ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 75% dan kemampuan pemprosesan grafik (GPU) sehingga 210%. Untuk prestasi permua, peranti ini mampu menjalankan tajuk popular seperti Mobile Legends: Bang Bang dan Honor of Kings pada kadar bingkai yang stabil sehingga 120 FPS.

Bagi mengawal suhu ketika sesi permainan, peranti ini disertakan dengan sistem penyejukan 3D IceCore Vapor Chamber. Sistem ini menggunakan kepingan tembaga berukuran 0.36mm yang didakwa mampu menurunkan suhu peranti sehingga 3°C.

Untuk paparan hadapan, NOTE 60 Pro menggunakan skrin beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak mencecah 4500 nits. Skrin paparan ini turut dilindungi oleh kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass 7i. Ia dipadankan dengan sistem pembesar suara stereo yang ditala oleh pengeluar audio antarabangsa, JBL.

Menariknya pada panel belakang, Infinix menampilkan rekaan Paparan Matriks Aktif (Active Matrix Display). Ia merupakan sebuah antara muka LED yang akan menyala bagi memaparkan pelbagai maklumat seperti notifikasi pintar, haiwan peliharaan animasi, dan permainan mini. Ia dibina menggunakan kerangka aloi aluminium dan melepasi piawaian rintangan debu dan percikan air IP64.

Dari segi bekalan kuasa, peranti ini dimuatkan dengan kapasiti bateri yang sangat besar iaitu 6500mAh. Pengecasan semula boleh dilakukan menerusi sistem pengecasan pantas berwayar 90W atau pengecasan tanpa wayar 30W. Sistem baterinya juga dilengkapi teknologi pemulihan bahan secara aktif, di mana ia mampu memanjangkan jangka hayat bateri sehingga enam tahun atau bersamaan 200 kitaran cas pengecasan.

Bagi keupayaan fotografi, modul kamera utama dilengkapi dengan sensor 50MP OIS (Night Master Camera) yang digandingkan bersama lensa sudut ultra-lebar 112°. Sistem kamera ini mampu merakam video pada resolusi 4K dan menyokong saluran pengimejan Ultra HDR untuk julat kontras yang lebih dinamik. Infinix turut menyertakan ciri Pemantau Kesihatan Lanjutan pada peranti ini untuk mengukur metrik seperti kadar denyutan jantung dan peratusan oksigen dalam darah.

Infinix NOTE 60 Pro ditawarkan dengan harga RM1,199 untuk 256GB + 8GB dan RM1,399 untuk 256GB + 12GB.

Ia hadir dengan empat pilihan warna: Solar Orange, Deep Ocean Blue, Mist Titanium, dan Mocha Brown. Peranti ini akan menerima sokongan kemas kini sistem operasi selama tiga tahun dan tampalan keselamatan selama lima tahun.

Jualan rasmi bermula pada hari ini, 27 Februari 2026, menerusi kedai rasmi Infinix di Lazada, Shopee, TikTok Shop, serta pengedar fizikal yang sah. Setiap pembelian didatangkan dengan dua tahun waranti, dan pembeli terawal akan menerima seutas jam tangan pintar XWatch H5 Pro (bernilai RM199) secara percuma, tertakluk kepada stok.

Selain itu, Infinix turut mengesahkan bahawa mereka bakal memperkenalkan model Infinix NOTE 60 Ultra yang direka dengan kerjasama Pininfarina kelak, dan mengumumkan pelantikan ahli kumpulan K-pop ITZY, Yuna, sebagai duta global mereka yang baharu.

Leave a Reply