Siri animasi terbaharu buatan tempatan yang menyasarkan golongan remaja dan dewasa, Kisah Bawah Tanah, dijadualkan siaran secara rasmi menerusi saluran Astro bermula 9 Mac 2026. Penyiaran melalui Astro sebelum ini dilaporkan akan meliputi pasaran Malaysia, Singapura, dan Brunei.
Penerbitan siri ini mengambil pendekatan berbeza daripada lambakan animasi tempatan sedia ada dengan tidak memfokuskan demografi kanak-kanak. Ia dihasilkan khusus bagi mengisi kekosongan pasaran animasi Asia Tenggara untuk tontonan penonton remaja dan dewasa.
Berformatkan komedi dengan keseluruhan 26 episod, Kisah Bawah Tanah menggabungkan cerita rakyat Asia Tenggara, elemen supernatural, dan satira. Plot utamanya menjejaki perjalanan dua watak berupa rangka, Sam dan Zack, yang sedang mencari tujuan hidup di alam ‘Bawah Tanah’.
Sepanjang pengembaraan tersebut, kedua-dua watak ini akan berinteraksi dengan pelbagai makhluk mitos tempatan, termasuk pocong, pontianak, dan penanggal yang diolah dalam bentuk komedi. Siri ini menggunakan elemen mistik tersebut sebagai metafora untuk mengupas isu-isu realiti kehidupan moden seperti masalah kewangan, bebanan kerjaya, dan tekanan masyarakat.

Dari sudut produksi, Kisah Bawah Tanah merupakan projek terbitan bersama antara Animasia Studio dan Spaceboy Studios. Pembangunan harta intelek (IP) dan struktur kreatif siri ini turut dikendalikan oleh Komet Productions, dengan Ahmad Izham Omar bertindak sebagai Penerbit Perunding.
Projek ini juga telah mendapat sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dari segi pembiayaan, bimbingan pembangunan, dan rantaian industri sejak fasa pembentukan konsep pada tahun 2018 lagi.
Selain Malaysia, Singapura, dan Brunei, siri animasi ini juga akan menjejak ke Thailand melalui rangkaian penyiaran Boom.


