Lapan pasukan esukan yang terdiri daripada organisasi tempatan dan antarabangsa telah diumumkan secara rasmi untuk memacu Program Perkongsian baharu bagi Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia. Penstrukturan semula liga ini menetapkan hala tuju baharu bagi saingan Musim ke-17 yang akan datang.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh pembangun permainan video MOONTON Games, dengan kerjasama Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) dan Esports Integrated (ESI) di MSN Esports Hub, Kuala Lumpur.
Berikut adalah senarai lapan pasukan yang akan bertanding di bawah panji program baharu ini:
- Selangor Red Giants (SRG)
- Team Vamos (VMS)
- Team Rey (TR)
- Rex Regum Qeon (RRQ)
- Bigetron MY by VIT (BTRM)
- All Combo (AC)
- Invictus Gaming (iG)
- Team Flash (TF)
Program Perkongsian yang dikuasakan oleh CelcomDigi ini merupakan langkah peralihan struktur jangka panjang bagi ekosistem esukan MLBB di negara ini. Ia direka untuk mengukuhkan asas pembangunan bakat, mengeratkan hubungan peminat, serta membuka peluang kolaborasi komersial untuk pasukan yang terlibat.
Ketua Pembangunan Perniagaan Esukan Malaysia di MOONTON Games, Krystal Tan, menjelaskan bahawa lapan pasukan ini dipilih dengan mengambil kira potensi pertumbuhan jangka panjang esukan Malaysia. Beliau turut menambah bahawa penyertaan pasukan antarabangsa yang bersaing di tanah air dijangka dapat meningkatkan tahap kompetitif liga.

Dari sudut pembangunan industri, Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin, menyifatkan penubuhan program ini sebagai satu pencapaian penting dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar esukan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir pula menekankan bahawa inisiatif daripada sektor swasta ini sejajar dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Menurut beliau, program berstruktur sebegini penting untuk mewujudkan laluan kerjaya yang lebih mampan bagi golongan belia yang ingin menceburi bidang esukan.
Barisan pemain masih tidak diumumkan pada waktu ini dengan ia dijangkakan dilakukan oleh setiap pasukan secara sendiri, manakala Moonton dijangka akan mengumumkan butiran lanjut mengenai format dan jadual Musim ke-17 dalam masa terdekat.
Gambar: Moonton


