Peminat siri drama jenayah British, Peaky Blinders, kini boleh merasai pengalaman menjadi sebahagian daripada keluarga Shelby di dalam permainan battle royale, PUBG MOBILE. Bermula sekarang sehingga 5 Februari 2026, pemain boleh mengakses pelbagai kandungan bertemakan siri tersebut, termasuk kostum watak, kenderaan, dan mod cerita khas.
Fokus utama kolaborasi ini adalah penawaran kostum watak yang membolehkan pemain beraksi sebagai tiga watak utama siri ini iaitu Thomas Shelby, Arthur Shelby, dan John Shelby.
Selain penampilan watak, PUBG MOBILE turut menyertakan senjata dan aksesori yang sinonim dengan estetik siri tersebut. Ini termasuk senjata Foggy City – Thompson SMG, topi Razor Newsboy Hat, dan beg galas Locked & Loaded Backpack. Bagi melengkapkan gaya visual, pemain juga boleh mendapatkan kenderaan Misty Soul UAZ, payung terjun khas, serta hiasan dinding untuk ruang Home di dalam permainan.
Berbeza dengan kolaborasi kosmetik biasa, kerjasama ini memperkenalkan acara dalam permainan yang menyertakan penceritaan bertajuk The Shelby Trials.
Mod ini berfungsi sebagai cerita sampingan original di mana pemain akan mengikuti beberapa protagonis melalui empat senario berbeza yang diinspirasikan daripada detik-detik penting siri asal. Pemain perlu membuat keputusan strategik, sama ada menggunakan kebijaksanaan atau kekerasan, yang akan mempengaruhi perkembangan setiap babak cerita tersebut. Menyelesaikan acara ini akan memberikan ganjaran item eksklusif kepada pemain.
Untuk meningkatkan lagi atmosfera permainan, pek suara Thomas Shelby turut ditawarkan, membolehkan pemain menggunakan suara ketua Peaky Blinders tersebut untuk memberikan arahan di medan tempur.
Selain itu, lagu tema ikonik siri ini, ‘Red Right Hand’ nyanyian Nick Cave and the Bad Seeds, kini boleh didengari melalui acara dalam permainan tersebut. Pemain juga boleh menggunakan emote baharu seperti Thumbs Up Approval dan Menacing Stride.
Kandungan kolaborasi PUBG MOBILE x Peaky Blinders ini kini tersedia untuk dimuat turun di App Store dan Google Play Store.


