The Trauma Code: Heroes On Call merupakan siri drama bersiri Korea yang baru sahaja ditayangkan di Netflix. Ia merupakan adaptasi kepada siri novel yang diterbitkan di Naver Webtoon pada tahun 2019. Drama ini mempunyai lapan episod, dan tidak lebih 60 minit untuk setiap satunya.

Drama perubatan ini mengisahkan tentang Dr. Baek Kang-hyuk lakonan Ju Ji-hoon yang dilantik oleh menteri untuk menggantikan seorang doktor Unit Trauma di Hankuk National University Hospital (HNUH) yang jatuh sakit akibat kelelahan bekerja. Dr. Baek ialah seorang yang kasar, ganas, namun dalam masa yang sama, mempunyai prinsip yang kukuh sebagai seorang doktor. Dia bertemu dengan Dr. Yang Jae-Won lakonan Choo Young-woo, dan seorang jururawat bernama Cheon Jang-mi lakonan Ha Young, lalu membentuk satu pasukan Unit Trauma yang padu.

Rentak plot yang dimainkan terasa laju dan tak membosankan langsung. Setiap episod bergerak pantas dengan krisis yang cepat menemui penyelesaian. Ia sesuai untuk penonton yang tidak gemar akan drama stres dengan konflik yang meleret. Setiap aksi dan prosedur pembedahan yang ditunjukkan juga tidak memakan banyak waktu, namun masih terasa kesan ketegangannya.

Setiap watak mempunyai perkembangan yang agak memberangsangkan. Terutama sekali, Dr. Han Yu-rim yang dimainkan oleh Yoon Kyung-ho yang kecoh dan banyak cakap. Selain itu, ahjussi kesayangan peminat K-drama, Kim Won-hae, juga ada di dalam drama ini. Namun kali ini, beliau memainkan watak antagonis yang serius. Walau bagaimanapun, saya masih gagal menahan diri daripada ketawa setiap kali melihat wajah beliau.

Episod-episod dalam drama ini disusun dengan sangat cantik sehingga membuat saya tidak sabar untuk tahu apa kesinambungannya. Pelbagai rasa juga diadun dengan baik sekali. Terdapat beberapa adegan mencuit hati yang membuat saya ketawa sendiri. Tak kurang juga yang membuat air bergenang di tubir mata (tak tumpah, bergenang sahaja).

Perkara yang paling saya suka daripada drama ini ialah ia bersih daripada segala unsur-unsur dan adegan-adegan tidak diingini. Ia sesuai untuk penonton berumur 16 tahun ke atas. Hanya ada sedikit unsur keganasan seperti tembak-menembak, dan darah menyeruak ke sana sini akibat pembedahan. Dengan lambakan drama Korea yang seakan-akan menuju ke arah kebaratan, ini ialah sesuatu yang segar bagi pengarang. Ia bagai mengembalikan aura drama Korea dari beberapa tahun lepas.

Kesimpulannya, drama The Trauma Code: Heroes On Call menarik untuk ditonton, dan boleh dihabiskan dalam masa sehari sahaja. Ia sesuai untuk menghilangkan stres dan melepaskan lelah pada hujung minggu. Ia berada di paras yang sama dengan drama-drama perubatan terkenal yang lain, terutama sekali Dr. Romantic musim pertama. Akhir kata, saya perlukan musim kedua!

Khairunnisaq merupakan seorang penulis dan penyunting sepenuh masa. Dahulu, beliau belajar psikologi. Sekarang, beliau mengubati jiwa-jiwa yang luka dengan ayat-ayat cinta di aplikasi Cereka.

The Trauma Code: Heroes on Call
The Trauma Code: Heroes On Call menarik untuk ditonton, dan boleh dihabiskan dalam masa sehari sahaja. Ia sesuai untuk menghilangkan stres dan melepaskan lelah pada hujung minggu.
Positif
Plot tidak bosan
Perkembangan watak yang baik
Bersih daripada adegan yang tidak baik
Negatif
Terlalu pendek
Pelakon sering menjerit
9

Leave a Reply

Final Score