Kemaskini Versi 4.1 PUBG MOBILE telah membawa satu perubahan besar dalam mekanik permainan berkumpulan menerusi pengenalan POWNIN, seekor “Ninja Penguin” yang berfungsi sebagai Rakan Pintar AI. Watak ini bukan sekadar hiasan kosmetik, sebaliknya direka dengan kemampuan untuk berkomunikasi melalui suara dalam masa nyata dan bertindak balas secara taktikal di dalam perlawanan.

Autonomi dan Keputusan Taktikal
Berbeza dengan companion yang biasa POWNIN dibina untuk beroperasi sebagai rakan sepasukan yang berfungsi sepenuhnya. AI ini mampu menilai keadaan medan tempur secara aktif dan membuat keputusan taktikal sendiri tanpa perlu menunggu arahan mikro daripada pemain.
Antara kebolehan teknikal yang ditawarkan termasuklah:
- Sokongan Pertahanan: Menggunakan bom asap (smoke) untuk melindungi rakan sepasukan
- Serangan: Melakukan serangan hendap dari tempat perlindungan dan menumbangkan musuh
- Bantuan Kecemasan: Menghidupkan semula sekutu di menara pemulihan
Interaksi Suara Masa Nyata
Aspek komunikasi merupakan ciri utama yang membezakan POWNIN. AI ini menyokong interaksi suara dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Inggeris, Arab, dan Turki, membolehkan pemain berkomunikasi secara normal seperti dengan pemain manusia. Pihak pembangun telah mengoptimumkan sistem ini untuk mengecam arahan dan perbualan walaupun dalam persekitaran suara yang kompleks.
Selain menerima arahan, POWNIN direka dengan personaliti yang mesra dan mampu melontarkan gurauan atau komen sinis kepada pemain semasa sesi permainan.

Statistik Penggunaan Global
Data awal menunjukkan tahap penggunaan yang tinggi dalam kalangan komuniti pemain global. Sejak dilancarkan, POWNIN telah mencatatkan sejumlah 1.46 bilion interaksi.
Daripada jumlah tersebut, statistik menunjukkan tingkah laku AI yang proaktif:
- 910 juta interaksi adalah dialog yang dimulakan sendiri oleh POWNIN
- 550 juta interaksi adalah permintaan yang dibuat oleh pemain
Populariti watak ini turut memberi kesan kepada ekosistem kandungan pengguna (UGC), di mana kandungan berkaitan POWNIN telah meraih lebih 300 juta tontonan dan 100 juta interaksi di platform media sosial seperti TikTok dan Discord.
Ciri POWNIN ini adalah sebahagian daripada Kemaskini Versi 4.1 yang kini boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store. Kandungan versi ini akan tersedia untuk pemain sehingga 5 Januari depan.
PUBG Mobile sudah dilancarkan untuk iOS dan Android sebagai permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam permainan.


