Apabila dua nama besar industri hiburan Korea Selatan, Ji Chang Wook dan Doh Kyung-soo (D.O.), digandingkan dalam sebuah siri thriller, jangkaan penonton pastinya melangit. The Manipulated, siri terbaharu yang kini ditayangkan di Disney+, hadir dengan premis yang gelap dan penuh tipu daya. Selepas menonton tiga episod pertama, saya memasang hajat yang tinggi untuk siri ini kerana ia bermula dengan sangat baik akan tetapi agak mengecewakan di bahagian pertengahan dan juga bagaimana bahagian akhir dilakukan dan tidak mencapai potensi penceritaan yang sepenuhnya.
Secara asasnya, The Manipulated membawakan kisah Park Tae Jung lakonan Ji Chang Wook, seorang lelaki jujur dan pekerja keras yang hidupnya musnah dalam sekelip mata. Tanpa disangka, dia dijadikan “kambing hitam” dalam sebuah kes pembunuhan berprofil tinggi. Dalang di sebalik penganiayaan ini adalah sebuah organisasi misteri yang beroperasi secara sulit. Mereka menerima bayaran lumayan daripada golongan elit untuk membersihkan jenayah, termasuk kes pembunuhan, dengan mengambinghitamkan orang yang tidak bersalah.

Organisasi jenayah ini dipimpin oleh An Yo-han lakonan Doh Kyung-soo. Watak ini bukanlah penjahat klise biasa. Dia digambarkan sebagai seorang genius yang tidak stabil emosinya dan sentiasa mencari keterujaan dalam melakukan jenayah. Dinamik antara kedua-dua watak ini menjadi tunjang utama penceritaan siri ini.
Seperti saya katakan sebelum ini, siri ini bermula dengan sangat kukuh. Episod-episod awal berjaya memaparkan betapa terdesak dan tidak berdayanya Park Tae Jung apabila dituduh melakukan jenayah yang tidak dilakukannya. Penonton dapat merasakan beratnya beban emosi yang ditanggung watak tersebut, terutamanya apabila dia dihumban ke dalam penjara. Walaupun berada di sebalik tirai besi, Tae Jung tetap berpegang teguh kepada harapan bahawa dia akan bebas dan mencari siapa yang bertanggungjawab merosakkan hidupnya.
Aspek yang paling menarik pada fasa awal ini adalah permainan “kucing dan tikus” antara Tae Jung dan Yo-han. Apabila Tae Jung cuba untuk melawan kembali, skrip siri ini bijak menunjukkan betapa liciknya An Yo-han yang sentiasa berada dua atau tiga langkah di hadapan. Ketegangan ini dibina dengan baik dan menjadikan siri ini bermula sebagai sebuah kisah balas dendam yang sangat meyakinkan.
Namun, di sinilah saya mula merasakan sedikit keganjilan dalam struktur penceritaannya. Di pertengahan siri, The Manipulated mengalami perubahan nada yang agak drastik. Daripada sebuah drama thriller balas dendam yang fokus, ia tiba-tiba berubah arah menjadi sesuatu yang sama sekali berbeza. Tanpa mendedahkan jalan cerita utama, saya boleh katakan bahawa elemen di pertengahan cerita ini seakan-akan cuba meniru konsep survival game seperti Squid Game.
Perubahan ini bagi saya menjadikan rentak penceritaan terasa sedikit canggung dan janggal. Ia seolah-olah mengganggu momentum yang telah dibina dengan baik pada awal cerita. Peralihan genre secara tiba-tiba ini membuatkan fokus penonton sedikit terganggu dan menimbulkan persoalan tentang hala tuju sebenar siri ini. Walaupun ia masih menarik untuk ditonton, keputusan kreatif ini terasa agak asing dan sedikit sebanyak mencacatkan kesinambungan emosi watak Tae Jung yang sedang membara dengan dendam.

Selepas fasa eksperimental tersebut, siri ini kembali ke landasan asalnya iaitu tema balas dendam. Walaupun ia berjaya menarik kembali perhatian saya, harus diakui bahawa ia gagal mencapai tahap ketegangan dan kualiti yang sama seperti episod-episod awal. Momentum yang hilang di pertengahan cerita sukar untuk dipulihkan sepenuhnya.
Kelemahan ini menjadi semakin ketara menuju ke penghujung siri. Saya mendapati beberapa episod akhir terasa seperti filler atau pengisian kosong semata-mata. Terdapat babak yang seolah-olah sengaja dipanjang-panjangkan hanya untuk mencukupkan durasi tayangan, walhal konflik tersebut boleh diselesaikan dengan lebih pantas dan padat. Ini menjadikan penyelesaian konflik terasa kurang impaknya berbanding apa yang diharapkan.
Secara keseluruhannya, The Manipulated masih merupakan sebuah siri yang menghiburkan. Ia menyajikan banyak babak aksi yang berkualiti tinggi dan lakonan mantap daripada kedua-dua peneraju utamanya. Ji Chang Wook cemerlang sebagai protagonis yang teraniaya, manakala Doh Kyung-soo berjaya menjiwai watak psikopat genius dengan berkesan. Namun, sebagai sebuah karya yang lengkap, potensi besarnya sedikit terganggu oleh eksperimen genre di pertengahan cerita dan pengakhiran yang tidak sebaik permulaannya.


